Trend penyakit kanser meningkat, kerajaan usaha tambah pakar

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 7 Jun – Penyakit kanser di negara ini menunjukkan trend meningkat, sekali gus menuntut tindakan segera bagi meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan saringan awal dan rawatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kementerian fokus menambah pakar onkologi dan meningkatkan fasiliti rawatan, khususnya bagi kanak-kanak dan pesakit di kawasan luar bandar.
  • Kerjasama antara kerajaan, NCSM dan pihak swasta menyediakan peluang saringan, maklumat dan bantuan kepada pesakit kanser.
  • SG Lim menjalankan larian Run for Gold sejauh 2,200 km sebagai simbol solidariti dan untuk membantu kanak-kanak pesakit kanser.
  • Orang ramai boleh menyokong usaha melalui sumbangan di laman web rasmi runforgold.my yang juga memaparkan maklumat laluan dan penjejak.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib, berkata kementerian memberi tumpuan kepada usaha menambah bilangan pakar onkologi serta meningkatkan fasiliti rawatan, khususnya bagi kanak-kanak dan pesakit di kawasan luar bandar.

“Kanser adalah sesuatu rawatan yang amat rumit, mahal dan perlu sokongan yang banyak. Dengan gabungan antara kerajaan, NCSM dan pihak swasta, kita dapat memberikan peluang untuk screening, maklumat serta bantuan yang diperlukan,” katanya kepada pemberita pada program ‘SG Lim Nears Completion of 2,200KM Run for Childhood Cancer’ di Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Kuala Lumpur.

Pada majlis itu, beliau turut menerima obor ‘Relay For Life’ daripada pelari dan aktivis kanser, SG Lim, sebagai simbol solidariti dan semangat perjuangan melawan kanser sempena ulang tahun ke-60 NCSM.

SG Lim, 66, yang kini memasuki fasa akhir larian Run for Gold sejauh 2,200 kilometer, berkata perjalanan itu didedikasikan kepada pesakit kanser kanak-kanak.

Ia bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan mengumpul dana bagi membantu kanak-kanak yang melawan kanser.

“Saya tidak berlari untuk emas, saya berlari untuk kanak-kanak. Warna emas melambangkan kanak-kanak dengn kanser dan mereka amat berharga,” katanya.

Kehilangan isterinya dua tahun lalu akibat kanser menjadi dorongan untuk memulakan larian tersebut.

Beliau memulakan larian dari Pulau Pinang pada 28 Mac lalu dan telah menamatkan lebih 1,781 kilometer merentasi seluruh Semenanjung Malaysia dengan ribuan rakyat menyertainya di setiap hentian.

Bagi mereka yang ingin menyokong usaha SG Lim, sumbangan boleh disalurkan melalui laman web rasmi beliau di runforgold.my, yang turut menyediakan maklumat laluan larian serta aplikasi penjejak langsung.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.