Sukarelawan Orang Asli lega, terharu Jaslinda ditemui selamat

Antara sekumpulan Orang Asli yang turut serta dalam Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) yang ditemu bual wartawan/Foto BERNAMA

TAPAH, 7 Jun – Lima belas sukarelawan Orang Asli dari Kampung Woh menarik nafas lega apabila pendaki wanita yang hilang, Jaslinda Saludin, 49, berjaya ditemui dalam keadaan selamat semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sukarelawan Orang Asli lega dan terharu apabila Jaslinda ditemukan dalam keadaan selamat.
  • 15 sukarelawan dari Kampung Woh antara individu terawal yang membantu operasi mencari dan menyelamat.
  • Mereka meredah hutan tebal dan kawasan berbukit sekitar Kem Sukaneka dan Gunung Rayu bagi membantu pencarian.
  • Jaslinda ditemukan berhampiran Kampung Lubuk Gaharu selepas 14 hari dan Bah Lilit mengesahkan identitinya.

Mereka antara individu terawal yang membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) selepas Jaslinda dilaporkan hilang ketika menyertai pendakian di Gunung Batu Putih pada 23 Mei lalu.

Tok Batin Kampung Ampang Woh, Bah Lilit berkata, sejak awal mereka hanya mahukan mangsa ditemukan dalam keadaan selamat.

Menurutnya, sepanjang operasi berkenaan, mereka meredah hutan tebal dan kawasan berbukit di sekitar Kem Sukaneka serta Gunung Rayu bagi membantu usaha pencarian bersama pasukan penyelamat.

“Saya sangat lega dan terharu apabila mendapat maklumat mengenai penemuan Jaslinda petang semalam. Saya terus bergerak dari Bidor ke Lubuk Gaharu untuk memastikan wanita yang ditemukan itu benar-benar Jaslinda kerana sebelum ini pelbagai maklumat diterima.

“Apabila saya melihat sendiri, saya yakin itulah individu yang tular di TikTok, Facebook dan YouTube. Saya sangat bersyukur dan berterima kasih atas penemuan ini walaupun kami tidak menemuinya ketika operasi di dalam hutan,” katanya ketika ditemui di Kampung Ampang Woh hari ini.

Bah Lilit berkata, pengalaman serta pengetahuan mengenai laluan hutan dimanfaatkan sepenuhnya dalam operasi berkenaan dengan kerjasama pelbagai agensi terlibat.

Sementara itu, Pegawai Khas kepada Menteri Besar Perak bagi masyarakat Orang Asli, Chew Ho Beng berkata lima daripada 15 sukarelawan telah keluar, manakala baki 10 orang masih berada di kawasan hutan.

“Keadaan mereka seperti yang dimaklumkan Tok Batin, ada yang kurang sihat, namun jika seorang tidak sihat, mereka akan turun bersama. Jadi setakat ini semua dalam keadaan selamat dan stabil,” katanya.

Beliau berkata, kumpulan berkenaan dijangka turun semula ke kampung pada pukul 5 petang ini selepas beberapa hari berada di hutan.

Sepanjang operasi itu, kebajikan keluarga sukarelawan turut diberi perhatian apabila menerima bantuan daripada beberapa pihak termasuk wakil
rakyat dan agensi berkaitan.

Selepas 14 hari dilaporkan hilang, Jaslinda Saludin berjaya ditemukan berhampiran Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh oleh Orang Asli kira-kira 5 petang pada Sabtu.

Jaslinda dilaporkan hilang ketika menyertai ekspedisi pendakian Trans Spencer Chapman bersama 13 peserta lain dan dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh pada 23 Mei lalu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.