
TAPAH, 7 Jun – “Kak Jas, please stay satu tempat” dan “Semua orang tengah cari akak” antara dua nota yang ditemui pendaki wanita, Jaslinda Saludin, ketika tersesat di Gunung Batu Putih selama 14 hari sebelum ditemukan selamat pada Sabtu.
- Dua nota ditemui di Kem Air Busuk ketika Jaslinda berusaha mencari jalan keluar.
- Nota dipercayai ditinggalkan oleh Malim Gunung Perhutanan Hafiz pada 30 Mei semasa operasi SAR.
- Jaslinda hanya sampai ke lokasi pada 5 Jun, kira-kira seminggu selepas nota; tiada pertemuan dengan SAR.
- Dia ditemui penduduk Orang Asli berhampiran Kampung Lubuk Gaharu dan menyerahkan nota kepada bomba.
Kertas yang dipercayai ditinggalkan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) itu ditemukan Jaslinda di Kem Air Busuk ketika dia berusaha mencari jalan keluar dari hutan.
Difahamkan, nota berkenaan ditinggalkan oleh Malim Gunung Perhutanan (MGP), Hafiz pada 30 Mei lalu ketika menyertai operasi pencarian di laluan Pos Musoh ke Kem Air Busuk.
Bagaimanapun, Jaslinda hanya tiba di lokasi berkenaan pada 5 Jun, kira-kira seminggu selepas nota itu ditinggalkan.
Penemuan dua keping kertas tersebut menjadi petunjuk bahawa pasukan penyelamat pernah berada di laluan yang dilaluinya.
Meskipun Jaslinda tidak sempat bertembung dengan mana-mana anggota SAR ketika itu.
Kedua-dua kertas itu diserahkan oleh Jaslinda kepada pihak bomba sejurus dia ditemui selamat oleh penduduk Orang Asli berhampiran Kampung Lubuk Gaharu pada petang Sabtu.
Jaslinda sebelum ini dilaporkan hilang pada 23 Mei lalu ketika menyertai pendakian Trans Spencer Chapman bersama 13 peserta lain serta dua Malim Gunung Perhutanan (MGP).