Minggu Perpaduan di Sabah pupuk semangat kebersamaan rakyat

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Norzahiruddin Amin Husin

KUALA LUMPUR, 7 Jun – Sambutan Minggu Perpaduan 2026 peringkat kebangsaan bakal diadakan di perkarangan Stadium Likas, Kota Kinabalu Sabah bermula 11 hingga 14 Jun ini dengan menyasarkan kehadiran seramai 250,000 pengunjung.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program bertema "Bersama Membina Negara Bangsa" bertujuan memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.
  • Hampir 50 aktiviti merangkumi kebudayaan, e-sukan, dan makanan sebagai medium penyatuan rakyat, serta pelbagai pertandingan termasuk Sabah Idol dan Unduk Ngadau.
  • Pameran 14 rumah etnik memperkenalkan adat resam dan warisan, manakala Pameran Raja Kita memupuk kesetiaan kepada Raja dan Negara.

Sambutan yang akan menampilkan pelbagai pengisian berteraskan identiti, budaya, seni dan warisan negara bertujuan memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum di negara ini.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Norzahiruddin Amin Husin, program yang memasuki edisi keempat itu mengangkat tema “Bersama Membina Negara Bangsa” dan bakal merakamkan detik-detik perpaduan dalam kalangan masyarakat.

“Terdapat hampir 50 aktiviti yang akan dibawakan merangkumi aspek kebudayaan, e-sukan dan makanan yang menjadi medium penyatuan rakyat Malaysia. Program lain yang bakal diadakan adalah pelbagai bentuk pertandingan antaranya Sabah Idol, negeri ini terkenal dengan bakat seni suara. Selain satu lagi acara yang menjadi identiti Sabah iaitu Unduk Ngadau”, katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media.

Menurutnya, antara kelainan yang dibawa termasuk pameran 14 rumah etnik yang mewakili masyarakat Melayu, Cina, India, Kadazan, Dusun, Murut, Cetti dan Portugis serta beberapa etnik lain sebagai usaha memperkenalkan adat resam dan warisan budaya yang menjadi asas pembinaan negara bangsa.

“Kita juga akan adakan Pameran Raja Kita bagi memupuk Kesetiaan Kepada Raja dan Negara dan segmen ini dibawakan oleh Jabatan Muzium Malaysia”, tambahnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka merasmikan program tersebut pada hari ketiga sambutan.

Program turut akan dimeriahkan dengan persembahan artis popular tanah air seperti Datuk Awie, Jacyln Victor serta beberapa artis tempatan Sabah.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.