TOT UiTM 2026: Kembali selepas 16 tahun menyepi, himpun lebih 500 atlet

Foto RTM

SHAH ALAM, 6 Jun – Selepas 16 tahun menyepi daripada kalendar sukan universiti, Temasya Olahraga Tahunan Universiti Teknologi MARA (TOT UiTM) 2026 kembali menggegarkan Stadium UiTM Shah Alam dengan penyertaan luar biasa seramai 587 atlet.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemulihan infrastruktur trek stadium menjadi pemangkin utama penganjuran semula kejohanan olahraga.
  • Program bertujuan menggilap semangat sukan dan cungkil bakat untuk mewakili UiTM di peringkat staf dan pelajar.
  • Temasya dua hari menghidupkan semula tradisi olahraga UiTM dengan pelbagai acara trek dan padang dipertandingkan.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM, Profesor Dr. Mohd Sazili Shahibi berkata, penganjuran semula temasya yang kali terakhir diadakan pada tahun 2010 itu melibatkan 15 pasukan yang mewakili kolej kediaman, fakulti, serta kampus cawangan dari seluruh negara.

Menurutnya, pemulihan infrastruktur trek stadium sebelum ini menjadi pemangkin utama kepada penganjuran semula kejohanan itu bagi menyemarakkan kembali semangat kesukanan merentasi generasi warga universiti.

“Kita adakan objektifnya ialah untuk menggilap semangat sukan dan olahraga yang sebelum ini tidak dapat kita laksanakan oleh kerana trek kita baru sahaja dipulihkan.

“Dengan adanya program ini, kita harap kita dapat cungkil bakat untuk mewakili UITM di peringkat staf dalam sukom dan pelajar di peringkat SUKIPT”, katanya kepada RTM selepas majlis Perasmian Penutupan TOT UiTM 2026 di sini, hari ini.

Profesor Dr. Mohd Sazili menambah, sukan olahraga sebelum ini merupakan antara acara yang tidak dapat diaktifkan berikutan faktor kekangan infrastruktur.

Namun demikian, dengan kemudahan yang telah dinaik taraf, beliau percaya lebih ramai bakat baharu dan atlet berpotensi tinggi akan muncul untuk memberikan sokongan kepada sukan universiti.

Berlangsung selama dua hari bermula 5 Jun lalu, temasya ini bukan sekadar menghidupkan semula tradisi olahraga UiTM, malah menjadi simbol kebangkitan sebuah legasi sukan yang telah lama dinantikan oleh seluruh warga universiti.

Sepanjang dua hari kejohanan, para atlet berentap sengit dalam pelbagai acara trek dan padang termasuk 100 meter (m), 200m, 400m, 800m, 1,500m, 3,000m, larian berganti-ganti 4x100m dan 4x400m.

Turut dipertandingkan adalah acara padang seperti lompat jauh, lompat tinggi, lompat kijang, lontar peluru, lempar cakera dan merejam lembing.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.