Modric lanjutkan kontrak semusim bersama AC Milan

Luka Modric / REUTERS

MILAN, 24 Julai – Pemain veteran Croatia, Luka Modric telah menyambung kontraknya bersama AC Milan bagi satu musim lagi, umum kelab Serie A itu pada Khamis.

RINGKASAN BERITA AI
  • Modric bersetuju kekal bersama Milan sehingga 30 Jun 2027, dan bakal menyambut ulang tahun ke-41 dalam kurang dua bulan.
  • Beliau menjaringkan dua gol dalam 37 perlawanan musim lalu bersama Milan, menunjukkan sumbangan konsisten pada pasukan.
  • AC Milan menggantikan jurulatih kepada Ruben Amorim dan menandatangani Goncalo Ramos serta Mario Gila bagi memperkuat skuad.

Pemain perancang tengah itu yang bakal menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-41 dalam tempoh kurang dua bulan lagi, bersetuju untuk bersama Milan sehingga 30 Jun 2027.

Modric menyertai kelab gergasi Itali itu pada 2025 dan berjaya menjaringkan dua gol dalam 37 perlawanan pada musim lepas.

“Sebagai salah seorang pemain terbaik dan paling ikonik dalam bola sepak dunia, pemain Croatia ini akan meneruskan perjalanannya menyarung jersi Rossoneri,” kata AC Milan dalam satu kenyataan.

Modric merupakan naib juara Piala Dunia 2018 bersama Croatia, selain memenangi anugerah Ballon d’Or pada tahun yang sama.

Beliau turut mengumpul enam gelaran Liga Juara Eropah ketika beraksi bersama Real Madrid dari tahun 2012 hingga 2025.

Pada saingan Piala Dunia baru-baru ini, beliau memimpin Croatia sehingga ke pusingan 32, sebelum tersingkir di tangan Portugal.

Selepas menamatkan saingan Serie A di kedudukan kelima berikutan musim yang mengecewakan, AC Milan telah menggantikan jurulatih mereka, dengan bekas pengendali Manchester United, Ruben Amorim mengambil alih tugas daripada Massimiliano Allegri.

Menurut laman web khas bola sepak Transfermarkt, AC Milan turut menandatangani penyerang tengah Portugal, Goncalo Ramos dari Paris Saint-Germain dengan nilai melebihi 70 juta euro (AS $80 juta), serta pertahanan Sepanyol, Mario Gila dari Lazio dengan harga 30 juta euro. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.