
KUALA LUMPUR, 24 Julai- Kebakaran di Pasar Borong Selangor PKPS Agro, Pusat Bandar Putra Permai, berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 6.20 pagi tadi selepas lebih tujuh jam operasi dijalankan.
- Kebakaran memusnahkan sebuah lot kedai kira-kira 90 peratus.
- Tiada mangsa dilaporkan.
- JBPM menerima panggilan kecemasan pada 11.04 malam; jentera tiba sembilan minit kemudian.
- Operasi melibatkan 68 anggota bomba dari 14 balai, 67 anggota Bomba Sukarela dari 11 balai, PDRM dan MBSJ.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal berkata, kebakaran itu memusnahkan sebuah lot kedai kira-kira 90 peratus.
“Api berjaya dikawal pada 1.20 pagi sebelum kerja pemadaman dan overhaul diteruskan bagi memastikan tiada punca yang boleh mencetuskan kebakaran semula.
Tiada mangsa dilaporkan,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, JBPM menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.04 malam, sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Kembangan tiba di lokasi kejadian sembilan minit kemudian.
Operasi melibatkan 68 anggota bomba dari 14 balai, dibantu 67 anggota Pasukan Bomba Sukarela dari 11 balai serta Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan pasukan keselamatan pasar borong.
Pegawai forensik JBPM menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran dan anggaran jumlah kerugian.