Pelajar dan bapa dipukul di luar sekolah

Foto BERNAMA

SERDANG, 24 Julai – Tindakan sekumpulan pelajar memukul rakan sekolah di hadapan sebuah sekolah menengah sehingga mencederakan mangsa dan bapanya yang cuba meleraikan pergaduhan, kini disiasat polis selepas insiden itu tular di media sosial.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mangsa lelaki 16 tahun dan bapanya cedera; mangsa luka pada bibir, lutut dan lebam, bapa cedera tangan dan kaki.
  • Beberapa individu ditahan dan dibawa ke Mahkamah Petaling Jaya untuk permohonan reman di bawah Seksyen 117.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dengan hukuman denda atau penjara.

Ketua Polis Daerah Serdang, ACP Muhamad Farid Ahmad berkata, kejadian berlaku pada 3 Julai lalu kira-kira pukul 12.45 tengah hari membabitkan seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun dari Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Desaminium.

Menurutnya, mangsa dipanggil oleh beberapa pelajar lain sebelum dikepung dan dipukul ketika sedang menuju ke motosikalnya di luar kawasan sekolah.

“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami luka di bahagian bibir dan lutut serta lebam di seluruh badan. Bapa mangsa yang cuba meleraikan pergaduhan turut dipukul sehingga terjatuh di jalan raya dan mengalami kecederaan pada tangan dan kaki,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, lima individu telah ditahan dan akan dibawa ke Mahkamah Petaling Jaya hari ini bagi permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

Tambahnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kes turut disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya.

“Polis turut bekerjasama dengan pihak sekolah dan ibu bapa bagi memastikan kes ini ditangani secara profesional mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan. Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di talian 03-8074 2222 atau balai polis berhampiran.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.