
NEW YORK, 24 Julai -Pemenang pingat emas Olimpik, Noah Lyles dan pelari wanita Sha’Carri Richardson mudah melangkah ke peringkat separuh akhir acara 100 meter (m) pada Kejohanan Olahraga Amerika Syarikat (AS), pada Khamis.
- Lyles mencatat 9.97s dalam saringan 100m, masa kedua terpantas, di belakang Christian Coleman (9.96s).
- Lyles anggap perlumbaan sebagai pemanasan dan ramal final Jumaat akan berlangsung sengit.
- Sha'Carri Richardson menang saringannya 100m dengan 10.90s; dianggap pilihan utama selepas ketiadaan Melissa Jefferson-Wooden.
- Woody Kincaid menang 10,000m (30:13.66), menewaskan Grant Fisher; Isaac Grimes pertahankan gelaran lompat jauh dengan 8.18m.
Lyles, yang mengungguli acara 100m di Sukan Olimpik Paris 2024, memenangi saringannya dengan catatan 9.97 saat (s) untuk menempah tempat ke separuh akhir menerusi masa kedua terpantas saringan.
Catatan itu di belakang bekas juara dunia, Christian Coleman yang merekodkan masa 9.96s biarpun berdepan masalah tiupan angin.
“Ia pemanasan badan yang baik untuk memastikan ‘enjin’ mula berfungsi,” kata Lyles yang turut meramalkan saingan akhir pada Jumaat di Stadium Icahn bakal berlangsung sengit.
Sementara itu dalam saingan wanita, Richardson yang juga juara dunia 2023 dan pemenang perak Olimpik 2024, mendahului saringan 100m dengan masa 10.90s.
Richardson muncul pilihan utama meraih kejuaraan pada Jumaat berikutan ketiadaan pencabar utamanya, Melissa Jefferson-Wooden yang memilih untuk menumpukan perhatian kepada acara 200m minggu ini.
Dalam acara lain pada hari pembukaan kejohanan, Woody Kincaid memenangi acara 10,000m lelaki dengan masa 30 minit 13.66s, menewaskan pemenang pingat gangsa Olimpik 2024, Grant Fisher (30:14.46s).
Acara 10,000m wanita pula dimenangi Sydney Vaught menerusi catatan 33:36.98s, manakala Isaac Grimes mempertahankan gelaran lompat jauh lelaki buat kali kedua berturut-turut dengan lompatan sejauh 8.18m pada cubaan terakhirnya. – AFP