
WELLINGTON, 24 Julai – Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon menyifatkan tarif baharu yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) ke atas negaranya sebagai sesuatu yang amat mengecewakan.
- Siasatan AS gagal kemukakan bukti kukuh bagi dakwaan amalan buruh paksa.
- Tarif meningkatkan kos dan mewujudkan ketidaktentuan kepada perniagaan, bukan penyelesaian.
- Tarif dikenakan terhadap New Zealand dan 59 negara lain; Australia menggesa agar tindakan itu ditarik balik.
Menurut beliau, siasatan dijalankan AS gagal mengemukakan bukti kukuh bagi menyokong dakwaan berkaitan amalan buruh paksa yang menjadi asas pengenaan tarif tersebut.
“Tarif bukan penyelesaian kerana ia hanya meningkatkan kos dan mewujudkan ketidaktentuan kepada perniagaan,” katanya menerusi hantaran di platform X.
Tarif baharu yang berkuat kuasa hari ini dikenakan ke atas New Zealand dan 59 negara lain, dengan kadar antara 10 hingga 12.5 peratus, termasuk terhadap ekonomi utama seperti China, India dan Kesatuan Eropah.
New Zealand dikenakan tarif sebanyak 12.5 peratus.
Australia turut dikenakan kadar tarif yang sama, dengan Menteri Perdagangannya, Don Farrell menyifatkan tindakan itu tidak berasas, bercanggah dengan perjanjian perdagangan bebas antara kedua-dua negara serta wajar ditarik balik.-AFP