Tenis Terbuka Perancis: Cobolli mara ke akhir selepas Arnaldi tarik diri

Foto REUTERS

PARIS, 6 Jun – Hasrat untuk menyaksikan pertembungan sengit sesama wakil Itali di separuh akhir Terbuka Perancis tidak kesampaian apabila Matteo Arnaldi terpaksa menarik diri akibat serangan virus.

RINGKASAN BERITA AI
  • Cobolli diberi laluan ke final menentang Alexander Zverev selepas penarikan diri Arnaldi.
  • Penganjur mengumumkan penarikan diri hanya kira-kira 20 minit sebelum perlawanan dijadualkan bermula.
  • Cobolli berasa bercampur emosi, sedih namun gembira; kini miliki rehat panjang empat hari sebelum aksi akhir.

Penarikan diri Arnaldi sekali gus memberi laluan percuma kepada Flavio Cobolli untuk menempah pertemuan menentang Alexander Zverev di pentas akhir Ahad ini.

Pihak penganjur kejohanan mengumumkan penarikan diri Arnaldi, yang menghuni ranking ke-104 dunia, hanya kira-kira 20 minit sebelum perlawanan menentang Cobolli dijadualkan bermula pada Jumaat.

Cobolli, 24, yang merupakan pilihan ke-10 kejohanan, mengakui emosinya bercampur baur selepas dimaklumkan mengenai perkara itu oleh rakan karibnya sendiri sebelum sidang media bermula.

“Apabila dia menemui saya hampir sejam yang lalu, saya hampir menangis. Ia adalah sesuatu yang langsung tidak dijangka kerana saya sudah bersedia sepenuhnya untuk beraksi.

“Saya amat sedih dengan apa yang menimpanya, namun pada masa yang sama, sudah tentu saya gembira dengan pencapaian saya minggu ini” katanya.

Bagi Arnaldi, 25, keputusan menarik diri daripada aksi separuh akhir Grand Slam pertamanya itu adalah perkara paling perit, namun ia adalah tindakan terbaik demi kesihatannya.

Beliau mendedahkan mula mengalami sakit perut dan muntah berterusan sejak pagi Jumaat, selain diserang demam panas dan pening kepala yang teruk sehingga menyebabkannya gagal untuk bergerak, makan atau minum sepanjang hari.

Dalam pada itu, Cobolli sempat meluangkan masa menjalani latihan ringan di gelanggang utama bagi mengekalkan momentum di hadapan sekumpulan penonton yang memilih untuk kekal di stadium bagi melihat kelibat pemain nombor 14 dunia itu.

Cobolli, yang menewaskan pilihan keempat dari Kanada, Felix Auger-Aliassime pada Rabu, kini memiliki kelebihan waktu rehat yang panjang selama empat hari menjelang aksi akhir hujung minggu ini.

“Mempunyai masa rehat yang panjang mungkin boleh menyebabkan kehilangan rentak permainan, tetapi saya tahu saya akan turun dengan fizikal yang lebih segar.

“Sama ada ia membantu atau tidak, saya akan ketahuinya selepas pertandingan akhir nanti,” tambah Cobolli. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.