Biodiesel B15: Langkah strategik perkukuh daya tahan ekonomi negara

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 4 Jun Pelaksanaan program biodiesel B15 yang diperkenalkan kerajaan disifatkan sebagai langkah strategik yang tepat dan proaktif dalam usaha mengukuhkan ekosistem keselamatan tenaga serta memacu ekonomi negara lebih mampan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mengurangkan kebergantungan fiskal terhadap pasaran bahan api fosil, memperkukuh keselamatan tenaga dan memberikan perlindungan ekonomi jangka panjang.
  • Penggunaan biodiesel B15 kurangkan import diesel, tingkatkan penjimatan subsidi melalui pengurusan fiskal lebih cekap dan telus.
  • Permintaan domestik sokong pendapatan pekebun kecil sawit dan galakkan pelaburan teknologi tinggi, menjana pertumbuhan ekonomi baru serta daya tahan pasaran.

Pensyarah Kanan Bahagian Ekonomi, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Abdul Rais Bin Abdul Latiff menjelaskan bahawa dasar inovatif ini bukan sahaja berfungsi sebagai instrumen pengurusan tenaga domestik, malah bertindak sebagai pemangkin utama mengurangkan kebergantungan fiskal Malaysia terhadap pasaran bahan api fosil global yang kini tidak menentu.

Inisiatif penstrukturan semula tenaga itu dilihat mampu memberikan perlindungan ekonomi jangka panjang yang signifikan.

“Langkah ini amat tepat dalam konteks semasa kerana matlamatnya bukan sekadar sebagai satu dasar tenaga, malah ia merupakan strategi penting untuk pembangunan serta transformasi ekonomi negara,” katanya ketika dihubungi RTM.

Penggunaan meluas biodiesel berasaskan minyak sawit tempatan secara langsung akan mengurangkan keperluan import diesel petroleum, sekali gus menawarkan penjimatan fiskal yang besar kepada negara melalui pengurusan subsidi bahan api yang jauh lebih cekap dan telus.

“Langkah pengenalan B15 ini membantu kerajaan menguruskan subsidi bahan api dengan lebih cekap dan telus dari sudut fiskal.

“Apabila kita beralih kepada biodiesel tempatan, kesan ketidaktentuan harga global dapat dikurangkan, sekali gus menjadi strategi utama untuk mengurangkan tekanan perbelanjaan subsidi tenaga dalam keadaan ekonomi yang mencabar,” katanya lagi.

Malah, lonjakan permintaan domestik ini dijangka menyokong kestabilan pendapatan hampir 450,000 pekebun kecil sawit yang menjadi tulang belakang sektor komoditi negara.

Di samping itu, pelaburan berteknologi tinggi dalam aspek logistik dan pengadunan ini akan menjana pertumbuhan ekonomi baharu serta memelihara daya tahan pasaran tempatan daripada sebarang kejutan rantaian bekalan luar.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.