
KUALA LUMPUR, 3 Jun – Daya tahan dan stamina fizikal serta mental, antara persediaan yang perlu dilakukan mana-mana individu yang ingin melakukan aktiviti pendakian.
- Tenang dan kawal diri sekiranya berlaku insiden luar jangka semasa pendakian atau masuk hutan.
- Jika tersasar, pilih laluan paling jelas kerana biasanya laluan pendaki; laluan tidak jelas mungkin laluan binatang.
- Guna teknologi seperti dron dan analisis jejak isyarat telefon bimbit untuk mengecilkan radius pencarian.
- Solidariti masyarakat, kerjasama penduduk kampung dan komuniti pendaki sangat membantu operasi mencari dan menyelamat.
Panduan utama itu, berupaya memudahkan operasi menyelamat sekiranya berlaku insiden yang tidak diingini, demikian pesanan ringkas Ketua Pasukan Akademi Bomba PBK I, Mohd Fakhrul Munir.
“Tenang dan cuba kawal diri, perkara utama yang perlu dilakukan sekiranya berlaku insiden luar jangka ketika melakukan aktiviti pendakian atau masuk hutan.
“Jika merasa telah tersasar, kita perlu memilih laluan yang paling jelas kerana kebiasaanya ia merupakan laluan yang digunakan pendaki. Laluan yang disifatkan tidak jelas, berkemungkinan merupakan laluan binatang,”katanya selepas menjadi tetamu dalam program Selamat Pagi Malaysia.
Beliau turut berkongsi pengalaman bertugas dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) Nur Izzati Humaira yang hilang di Bukit Changkat Asa, Tanjong Malim pada 23 Mei lepas.
“Kelancaran operasi turut digerakkan dengan integrasi teknologi menerusi penggunaan dron milik PDRM dan kaedah analisis jejak isyarat telefon bimbit mangsa bagi mengecilkan radius pencarian.
“Solidariti masyarakat juga sangat dihargai. Malah kerjasama penduduk kampung serta komuniti pendaki juga membantu usaha pencarian,”kongsinya.