
PENGKALAN KUBOR, 3 Jun – Empat ekor burung kakak tua dipercayai diseludup dari Thailand bernilai RM100,200 dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam serbuan di Pengkalan Haram Kak Nah, semalam.
- PGA merampas sangkar burung semasa Op Taring Wawasan Kelantan kira-kira pukul 7 malam berhampiran Sungai Golok.
- Seorang lelaki yang sedang memunggah sangkar melarikan diri ke Thailand menggunakan bot selepas menyedari kehadiran anggota PGA.
- Pemeriksaan menemukan dua Blue and Gold Macaw dan dua Blue Fronted Amazon dipercayai diseludup tanpa permit sah.
- Turut dirampas dua sangkar; kes disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan burung dipercayai untuk dijual di negara ini.
Komander Briged Tenggara PGA Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata rampasan dilakukan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan kira-kira pukul 7 malam ketika rondaan di kawasan berhampiran Sungai Golok.
Beliau berkata seorang lelaki yang sedang memunggah sangkar di tebing sungai melarikan diri ke arah Thailand menggunakan bot selepas menyedari kehadiran anggota PGA.
“Hasil pemeriksaan ke atas sangkar berkenaan menemukan dua burung kakak tua spesies Blue and Gold Macaw dan dua burung kakak tua spesies Blue Fronted Amazon yang dipercayai diseludup tanpa permit sah.
“Turut dirampas dua sangkar dengan anggaran keseluruhan nilai rampasan RM100,200,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Ahmad Radzi berkata semua burung terbabit dipercayai untuk dijual kepada pembeli di negara ini.
“Kes disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010,” katanya.