
SAUDARA PENGARANG
- Pertembungan fikrah: budaya platform pantas menuntut sensasi, berlawanan dengan prinsip ilmu, adab dan ketenangan institusi Islam.
- Keterlihatan tinggi tidak semestinya membina kewibawaan; angka tontonan boleh mengaburi nilai, maruah dan amanah institusi.
- Perlu keseimbangan: guna kreativiti digital untuk menyampaikan hikmah tanpa menjejaskan identiti, kewibawaan dan kesinambungan ilmu.
Dunia digital sedang mengubah cara masyarakat memahami autoriti, ilmu dan identiti institusi. Dalam era media sosial, keterlihatan sering dianggap sebagai ukuran kejayaan komunikasi. Semakin tinggi jumlah tontonan, perkongsian dan pengikut, semakin dianggap relevan sesebuah organisasi.
Fenomena ini turut mempengaruhi institusi Islam yang kini semakin aktif menggunakan platform seperti TikTok, Instagram Reels dan kandungan video pendek bagi mendekati masyarakat, khususnya generasi muda.
Fenomena ini bukan lagi sesuatu yang kecil dalam konteks Malaysia. Laporan Digital 2026: Malaysia menunjukkan bahawa jumlah pengguna TikTok di Malaysia telah melepasi 30 juta pengguna dewasa, manakala capaian platform tersebut mewakili hampir 87 peratus daripada keseluruhan pengguna internet negara.
Pada masa yang sama, rakyat Malaysia juga berada antara pengguna media sosial paling aktif di Asia Tenggara dengan purata penggunaan internet harian melebihi lapan jam sehari.
Statistik ini menunjukkan bahawa budaya platform digital bukan lagi sekadar ruang hiburan, tetapi telah menjadi sebahagian daripada cara masyarakat membina persepsi, mendapatkan maklumat dan memahami realiti sosial semasa.
Dalam persekitaran sebegini, institusi Islam juga semakin terdorong untuk memperkukuhkan keterlihatan digital agar tidak ketinggalan dalam arus komunikasi moden.
Namun di sebalik ledakan keterlihatan digital ini, timbul persoalan yang semakin penting untuk dicermati. Adakah semua bentuk keterlihatan benar-benar mencerminkan nilai dan fikrah institusi Islam?
Atau adakah sebahagian kandungan akhirnya lebih menyerupai budaya hiburan platform berbanding roh sebenar institusi itu sendiri?
Cabaran terbesar institusi Islam hari ini bukan sekadar bagaimana untuk tular, tetapi bagaimana untuk kekal berwibawa dalam dunia yang terlalu pantas mengejar perhatian.
Antara Keterlihatan Institusi dan Budaya Gen TikTok
TikTok bukan sekadar aplikasi media sosial, tetapi turut membentuk budaya komunikasi baharu yang mengutamakan kandungan ringkas, pantas, visual dan beremosi.
Akibatnya, cara masyarakat menerima maklumat juga berubah. Generasi muda semakin terbiasa dengan penerangan singkat, visual segera dan komunikasi yang pantas.
Perubahan ini memberi kesan besar terhadap cara agama dan dakwah dipersembahkan dalam ruang digital. Banyak institusi mula merasai tekanan untuk menghasilkan kandungan yang mengikut trend demi memastikan mereka kekal relevan dalam persekitaran media yang semakin kompetitif.
Akibatnya, muncul pelbagai bentuk kandungan institusi yang cuba menyesuaikan diri dengan budaya platform. Ada yang menggunakan pendekatan terlalu santai, gaya lakonan berlebihan atau strategi pemasaran yang kadangkala mengaburkan identiti institusi itu sendiri.
Dalam komunikasi digital, keadaan ini dikenali sebagai platformization iaitu apabila logik platform mula mempengaruhi budaya organisasi dan cara institusi berfikir. Institusi bukan lagi sekadar menyampaikan mesej, tetapi mula membentuk kandungan berdasarkan kehendak algoritma. Di sinilah bermulanya pertembungan fikrah.
Institusi Islam secara asasnya dibina atas prinsip ilmu, hikmah, adab dan ketenangan. Sebaliknya, budaya media pendek bergerak dalam logik kepantasan, sensasi dan perhatian segera. Pertembungan ini mewujudkan dilema sama ada institusi mahu kekal berprinsip atau terlalu menyesuaikan diri dengan budaya platform.
Persoalannya bukan sama ada TikTok itu betul atau salah, tetapi sejauh mana institusi mampu menggunakan media baharu tanpa kehilangan identiti dan maruah institusinya sendiri.
Keterlihatan Tidak Semestinya Membina Kewibawaan
Dalam era digital, ramai organisasi mula terperangkap dengan ilusi angka. Jumlah tontonan dianggap sebagai kejayaan komunikasi, manakala jumlah pengikut dilihat sebagai simbol pengaruh. Sedangkan dalam konteks institusi Islam, kewibawaan tidak boleh diukur semata-mata melalui engagement media sosial.
Budaya digital hari ini dipacu oleh ekonomi perhatian (attention economy) yang menjadikan masa tontonan, kadar interaksi dan perkongsian sebagai ukuran utama kejayaan kandungan.
Dalam keadaan ini, institusi Islam sering berdepan dilema antara memenuhi logik algoritma atau mempertahankan identiti institusi yang berasaskan ilmu, adab dan hikmah.
Ada kandungan yang tinggi tontonan tetapi gagal membina rasa hormat terhadap institusi. Ada juga kandungan yang popular tetapi semakin menjauh daripada nilai ilmu dan identiti sebenar organisasi.
Cabaran besar institusi Islam ialah apabila terlalu mengejar budaya pemasaran digital sehingga berisiko kehilangan simbol autoriti yang selama ini menjadi asas kepercayaan masyarakat.
Institusi Islam bukan sekadar pencipta kandungan. Ia membawa fungsi ilmu, amanah sosial dan maruah agama. Maka cara ia bercakap, berpakaian, berinteraksi dan membina kandungan perlu mempunyai sempadan nilai yang jelas.
Lebih membimbangkan apabila budaya media sosial mula mempengaruhi psikologi organisasi. Ada institusi mula merasa ketinggalan jika tidak tular, malah mengukur kejayaan dakwah berdasarkan jumlah views semata-mata.
Sedangkan sejarah tamadun Islam membuktikan bahawa kekuatan dakwah dibina melalui kewibawaan ilmu, akhlak dan kesinambungan nilai.
Memahami Gen TikTok dengan Hikmah dan Fikrah
Bagaimanapun, perbincangan ini tidak seharusnya berubah menjadi naratif menghukum generasi muda. Gen TikTok bukan generasi yang antiagama, sebaliknya mereka lahir dalam ekosistem media yang sangat berbeza daripada generasi sebelumnya.
Mereka membesar dalam budaya video pendek, komunikasi visual dan interaksi digital yang pantas. Cara mereka belajar, memahami dunia dan membina identiti turut dipengaruhi oleh budaya platform.
Oleh sebab itu, institusi Islam perlu memahami generasi ini melalui pendekatan fikrah dan psikologi komunikasi, bukan sekadar penolakan budaya secara emosional.
Anak muda hari ini masih mencari makna, ketenangan dan identiti diri. Mereka tetap mahu mendengar tentang agama, nilai dan kehidupan, tetapi bahasa komunikasi yang digunakan perlu lebih dekat dengan realiti semasa tanpa merendahkan martabat ilmu dan institusi.
Di sinilah pentingnya keseimbangan. Institusi Islam perlu lebih kreatif dan segar dalam pendekatan media digital, namun pada masa sama tetap memelihara identiti, fikrah, wibawa dan nilai asas organisasi. Media sosial sepatutnya menjadi alat memperluaskan hikmah, bukan memadamkan daya tarikan institusi.
Cabaran sebenar dalam era pemasaran digital bukanlah bagaimana untuk menjadi paling viral, tetapi bagaimana untuk kekal dipercayai ketika dunia terlalu sibuk mengejar perhatian.
Dalam dunia yang penuh kebisingan media sosial, masyarakat sebenarnya masih mencari sesuatu yang lebih tenang, bermakna dan boleh dipercayai.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Dr. Md Rozalafri Johori
Pensyarah Kanan Komunikasi dan Media
Fakulti Sains Sosial
Universiti Islam Selangor
E-mel: rozalafri@uis.edu.my

Rahmahtunnisah Sailin
Pensyarah Komunikasi dan Media
Fakulti Sains Sosial
Universiti Islam Selangor
E-mel: rahmahtunnisah@uis.edu.my