
KUALA LUMPUR, 1 Jun – Legenda badminton negara, Datuk Seri Lee Chong Wei meneruskan sumbangannya kepada pembangunan sukan tanah air apabila kejohanan sulung Piala Lee Chong Wei disahkan berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara dari 29 Ogos hingga 6 September depan.
- Hadiah wang tunai keseluruhan RM100,000 menjadikan kejohanan antara yang paling lumayan untuk kategori remaja negara.
- Finalis dapat peluang sesi pemilihan di Akademi Badminton Malaysia membuka laluan ke program pembangunan kebangsaan.
- Pertandingan guna format pemarkahan 3x15 dan pertandingkan kategori bawah 13, 15 dan 17 tahun untuk pendedahan antarabangsa awal.
Kejohanan yang mendapat pengiktirafan rasmi daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu dijangka menjadi pentas terbaik buat pemain remaja negara menyerlahkan bakat serta memburu peluang untuk melangkah ke tahap lebih tinggi dalam arena badminton.
Lebih menarik, kejohanan tersebut menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM100,000, sekali gus menjadikannya antara kejohanan badminton remaja paling lumayan pernah dianjurkan di negara ini.
Selain ganjaran wang tunai, finalis turut berpeluang menjalani sesi pemilihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), yang boleh membuka laluan ke program pembangunan badminton kebangsaan.
Pendaftaran akan dibuka secara rasmi pada 15 Jun ini dengan setiap kategori dihadkan kepada 128 peserta selain 32 tempat dalam senarai menunggu.
Edisi sulung Piala Lee Chong Wei akan mempertandingkan kategori bawah 13, bawah 15 dan bawah 17 tahun melibatkan acara perseorangan lelaki, perseorangan wanita, beregu lelaki, beregu wanita serta beregu campuran bagi kategori tertentu.
Kejohanan itu juga akan menggunakan format pemarkahan baharu 3×15 yang diperkenalkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF), sekali gus memberi pendedahan awal kepada pemain muda terhadap sistem pertandingan terkini di peringkat antarabangsa.
Pada masa sama, hasil kutipan yuran penyertaan akan disalurkan kepada badan kebajikan yang akan diumumkan kemudian, menjadikan kejohanan ini bukan sekadar platform pembangunan bakat, malah medium untuk menyemai nilai kemasyarakatan dalam kalangan pemain muda.
Penganjuran Piala Lee Chong Wei dilihat sebagai manifestasi komitmen berterusan bekas pemain nombor satu dunia itu dalam mencungkil bakat baharu, melahirkan pelapis berkualiti serta memastikan legasi kecemerlangan badminton negara terus berkembang pada masa hadapan.