Hospital swasta: Rawatan atau keuntungan?

Foto janaan AI/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Hospital swasta mesti telus tentang caj, terangkan keperluan prosedur, pilihan alternatif, anggaran kos dan bil yang mudah difahami.
  • Budaya mendapatkan pendapat kedua perlu dinormalisasikan supaya keputusan rawatan lebih objektif dan pesakit tidak terburu-buru bersetuju.
  • Pihak berkuasa perlu perketat pemantauan, siasat manipulasi caj, pertimbangkan siling caj, audit berkala dan pangkalan data perbandingan.
  • Syarikat insurans harus reka polisi lebih telus dan sokong program pencegahan manakala pengguna perlu celik hak dan bertanya.

Kos rawatan kesihatan di Malaysia semakin menjadi kebimbangan rakyat.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, masyarakat mula merasakan bahawa mendapatkan rawatan bukan sahaja mendatangkan tekanan daripada sudut kesihatan, malah mampu menjadi mimpi ngeri kewangan.

Lebih membimbangkan apabila isu kenaikan premium insurans, caj hospital swasta yang tinggi serta ketidakjelasan bil rawatan semakin hangat diperkatakan.

Insurans kesihatan pada asalnya diwujudkan sebagai pelindung ketika seseorang diuji dengan penyakit. Ia memberi harapan agar pesakit tidak terbeban dengan kos rawatan yang tinggi.

Namun hari ini, semakin ramai pengguna mula mempersoalkan sama ada sistem yang ada benar-benar melindungi pesakit atau sekadar menjadi mekanisme yang menguntungkan pihak tertentu.

Dalam banyak keadaan, pesakit berada dalam situasi yang sangat lemah. Mereka hadir ke hospital dalam keadaan takut, cemas dan terdesak.

Pada waktu itu, pesakit meletakkan sepenuh kepercayaan kepada doktor dan pihak hospital untuk menentukan bentuk rawatan terbaik.

Namun apabila bil rawatan meningkat secara mendadak tanpa penjelasan yang jelas, keyakinan masyarakat terhadap sistem kesihatan di hospital swasta mula terhakis sedikit demi sedikit.

Antara isu yang sering dibangkitkan pengguna ialah ketidakselarasan caj rawatan antara hospital, prosedur yang didakwa berlebihan sehingga dikenakan bil rawatan yang dilihat seolah-olah “mengikut had insurans” pesakit.

Walaupun tidak semua hospital atau doktor terlibat dalam amalan sedemikian, persepsi masyarakat terhadap sistem kesihatan swasta semakin tercalar.

Keadaan ini memberi kesan besar kepada golongan M40 yang selama ini berusaha membayar premium insurans setiap bulan demi mendapatkan perlindungan terbaik apabila sakit.

Namun apabila had perlindungan digunakan terlalu pantas, ramai pesakit akhirnya terpaksa menggunakan simpanan sendiri, mengeluarkan wang persaraan atau berpindah mendapatkan rawatan ke hospital kerajaan bagi meneruskan rawatan.

Pada masa yang sama, industri insurans juga mempunyai cabarannya tersendiri. Syarikat insurans berdepan dengan peningkatan kos tuntutan perubatan yang tinggi setiap tahun. Inflasi perubatan di Malaysia kini antara yang tertinggi di Asia Tenggara.

Peningkatan harga ubat, penggunaan teknologi rawatan moden serta caj hospital swasta menyebabkan syarikat insurans terpaksa menaikkan premium demi memastikan kelangsungan operasi mereka.

Ketelusan Caj Rawatan Perlu Diperkasakan

Hospital swasta perlu lebih telus dalam setiap caj rawatan yang dikenakan. Pesakit berhak mengetahui kos sebenar sesuatu prosedur sebelum rawatan dijalankan.

Penjelasan yang jelas dan terperinci perlu diberikan berkaitan keperluan sesuatu prosedur, pilihan rawatan alternatif, anggaran kos keseluruhan serta risiko dan manfaat rawatan tersebut.

Bil rawatan juga perlu disediakan dalam bentuk yang lebih mudah difahami dan tidak terlalu teknikal sehingga menyukarkan pesakit memahami apa yang sebenarnya dicaj kepada mereka.

Budaya Mendapatkan Pendapat Kedua Perlu Dinormalisasikan

Budaya mendapatkan second opinion atau pendapat kedua perlu dinormalisasikan dalam kalangan masyarakat.

Pesakit tidak seharusnya takut atau malu mendapatkan pandangan doktor lain sebelum bersetuju menjalani prosedur besar yang melibatkan kos tinggi.

Di kebanyakan negara maju, mendapatkan pendapat kedua dianggap sebagai amalan biasa bagi memastikan keputusan rawatan dibuat secara lebih objektif, telus dan adil kepada pesakit.

Pemantauan Lebih Tegas oleh Pihak Berkuasa

Pihak berkuasa juga perlu memperkukuh mekanisme pemantauan terhadap caj rawatan swasta dan amalan tuntutan insurans.

Jika terdapat unsur manipulasi caj berdasarkan had perlindungan insurans pesakit, perkara tersebut perlu disiasat secara serius.

Mungkin sudah tiba masanya Malaysia mempertimbangkan garis panduan siling caj bagi prosedur tertentu, audit berkala terhadap hospital swasta serta pembangunan pangkalan data caj rawatan yang boleh diakses pengguna untuk tujuan perbandingan.

Langkah ini bukan sahaja dapat meningkatkan persaingan secara sihat, malah mampu mengelakkan caj yang melampau.

Industri Insurans yang Lebih Mesra Pengguna

Syarikat insurans juga perlu memainkan peranan yang lebih proaktif dalam membantu pengguna memahami polisi perlindungan mereka.

Ramai pengguna hanya mengetahui had perlindungan dan pengecualian polisi apabila mereka sudah jatuh sakit.

Produk insurans perlu direka dalam bentuk yang lebih telus, mudah difahami dan tidak mengelirukan pengguna.

Selain itu, syarikat insurans juga boleh memperluaskan program kesihatan pencegahan, pemeriksaan awal serta insentif gaya hidup sihat bagi mengurangkan tuntutan jangka panjang.

Pengguna Perlu Celik Hak Kesihatan

Dalam masa yang sama, masyarakat juga perlu menjadi pengguna yang lebih bijak dan berani mempertahankan hak mereka sebagai pesakit.

Pesakit perlu berani bertanya kepada doktor dan pihak hospital mengenai beberapa perkara penting sebelum membuat keputusan rawatan.

Antaranya termasuk mengapa prosedur ini perlu dilakukan, adakah terdapat rawatan alternatif yang lebih murah, berapakah kos sebenar rawatanm dan apakah risiko jika rawatan ditangguhkan.

Kesedaran seperti ini penting supaya pengguna tidak menjadi mangsa ketidakseimbangan maklumat dalam sistem kesihatan.

Hakikatnya, sistem kesihatan yang baik bukan hanya bergantung kepada teknologi moden atau hospital mewah semata-mata. Sistem yang baik bergantung kepada amanah, integriti dan kepercayaan antara pesakit, doktor, hospital serta syarikat insurans.

Tidak dinafikan bahawa hospital swasta memerlukan keuntungan untuk terus beroperasi. Industri insurans pula perlu kekal mampan bagi melindungi pengguna.

Namun ketika mengejar keuntungan dan kelangsungan perniagaan, kebajikan pesakit tidak boleh diketepikan. Matlamat sebenar sistem kesihatan ialah memastikan rakyat mendapat rawatan yang berkualiti, telus dan mampu dibiayai.

Keadilan hanya dapat dicapai apabila pihak berkuasa tegas mengawal sistem, industri insurans bertindak secara bertanggungjawab, hospital mengutamakan etika perubatan dan pengguna memahami hak mereka sebagai pesakit.

Pesakit bukan sekadar nombor polisi insurans. Mereka adalah manusia yang datang dengan harapan untuk sembuh dan meneruskan kehidupan dengan bermaruah.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Dr. Noor Raudhiah Abu Bakar
Pensyarah Kanan Perakaunan
Fakulti Ekonomi, Perakaunan dan Pengurusan
Universiti Islam Selangor
E-mel: raudhiah@uis.edu.my

DR NORZIAH OTHMAN
Dr. Norziah Othman
Pensyarah Kanan Matematik
Fakulti Ekonomi, Perakaunan dan Pengurusan
Universiti Islam Selangor
E-mel: norziah@uis.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.