
KUALA LUMPUR, 30 Mei –Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya rancangan rejim Zionis Israel untuk merampas serta memperluaskan kawalannya ke atas 70 peratus wilayah Gaza.
- Tindakan Israel melanggar undang-undang antarabangsa, Piagam PBB serta resolusi Majlis Keselamatan dan Perhimpunan Agung.
- Seru masyarakat antarabangsa dan PBB menolak rancangan itu kerana ia memburukkan keselamatan serta keamanan rantau.
- Tekankan Gaza sebagai sebahagian wilayah Palestin; perubahan realiti wilayah hanya menyebabkan ketidakadilan dan merosakkan keamanan.
- Nyatakan solidariti kepada rakyat Palestin; sokong Negara Palestin merdeka berasaskan sempadan pra-1967, Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.
Kementerian Luar menerusi satu kenyataan menegaskan tindakan tersebut menyalahi undang-undang dan sama sekali tidak boleh diterima.
“Tindakan berkenaan merupakan pelanggaran nyata terhadap undang-undang antarabangsa, Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta pelbagai resolusi Majlis Keselamatan PBB dan Perhimpunan Agung PBB,” menurut kenyataan itu.
Malaysia turut menyeru masyarakat antarabangsa dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar menolak dan membantah rancangan rejim Zionis itu kerana ia hanya akan memburukkan lagi keadaan keselamatan serta keamanan yang sedia rapuh di rantau berkenaan.
Kementerian itu, yang juga dikenali sebagai Wisma Putra, berkata Gaza sejak sekian lama merupakan sebahagian daripada Wilayah Palestin, malah sebelum penubuhan Israel lagi, dan sebarang tindakan rejim itu untuk mengubah realiti wilayah Gaza hanya akan mengakibatkan ketidakadilan yang lebih ketara serta memburukkan lagi keadaan keselamatan dan keamanan yang sedia rapuh di rantau itu.
“Rakyat Gaza terus menderita akibat tindakan genosid dan kemusnahan yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel,” kata kenyataan itu lagi.
Sebarang bentuk perampasan wilayah Palestin adalah salah di sisi undang-undang antarabangsa dan tidak boleh dibenarkan.
Malaysia turut menegaskan solidariti yang tidak berbelah bahagi terhadap rakyat Palestin serta sokongan berterusan terhadap penubuhan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.