
KUALA LUMPUR, 7 September – Malaysia dan Thailand memberi komitmen untuk memperkukuh kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang termasuk pelaburan, kesalinghubungan sempadan serta pertanian selain perkembangan terkini di selatan Thailand.
- Menteri Luar Malaysia dan Timbalan Perdana Menteri Thailand mengadakan Majlis Makan Tengah Hari di Kuala Lumpur.
- Majlis digunakan untuk menegaskan semula hubungan kukuh antara Kuala Lumpur dan Bangkok serta bertukar pandangan mengenai langkah kerjasama.
- Lawatan itu melengkapkan pertukaran lawatan peringkat tinggi, susulan Lawatan Rasmi Perdana Menteri Thailand pada 9 dan 10 Julai.
- Hubungan ekonomi kekal penting; Thailand rakan dagang utama Malaysia, dengan peningkatan dagangan dua hala ketara pada 2025 dan Januari-Julai 2026.
Komitmen itu dizahirkan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Thailand, Sihasak Phuangketkeow dalam Majlis Makan Tengah Hari yang berlangsung di Kuala Lumpur hari ini.
Kedua-dua pemimpin itu memanfaatkan majlis tersebut sebagai platform untuk menegaskan semula hubungan yang telah lama terjalin dan erat antara Kuala Lumpur dan Bangkok, selain bertukar pandangan mengenai langkah-langkah untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang yang berkepentingan bersama.
Lawatan Sihasak ke Malaysia merupakan kesinambungan pertukaran lawatan peringkat tinggi antara kedua-dua negara, susulan Lawatan Rasmi Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul ke Malaysia pada 9 dan 10 Julai lalu.
Hubungan ekonomi kekal sebagai komponen penting dalam hubungan dua hala Malaysia-Thailand, dengan Thailand merupakan rakan dagang keenam terbesar Malaysia di peringkat global dan kedua terbesar dalam kalangan negara ASEAN pada 2025.
Jumlah dagangan dua hala mencecah RM118.57 bilion pada 2025.
Bagi tempoh Januari hingga Julai 2026, jumlah dagangan antara kedua-dua negara meningkat kepada RM85.01 bilion berbanding RM66.95 bilion dalam tempoh sama, tahun lalu.
Peningkatan itu mencerminkan hubungan ekonomi yang kukuh serta potensi untuk meningkatkan lagi kerjasama antara Malaysia dan Thailand.