
KUALA LUMPUR, 7 September – Kira-kira 1,500 rakyat Malaysia terjejas susulan pembatalan dan penjadualan semula penerbangan di Jakarta akibat gangguan operasi penerbangan ekoran letusan Gunung Berapi Anak Krakatau.
- Kedutaan Malaysia di Jakarta memantau perkembangan, berhubung dengan syarikat penerbangan, dan sedia mencadangkan lokasi penginapan kepada yang memerlukan.
- Kerjasama dijalankan bersama Kementerian Luar Negeri, BMKG dan Direktorat Jenderal Imigrasi untuk mengenal pasti fasilitasi dan bantuan perlu.
- Rakyat Malaysia dinasihatkan kekal tenang, urus penginapan makanan pengangkutan sendiri atau melalui keluarga, semak status penerbangan dan pertimbangkan laluan alternatif.
Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta sedang mendapatkan maklumat dan akan terus memantau perkembangan rakyat Malaysia yang telah melaporkan diri, selain berhubung rapat dengan syarikat penerbangan bagi mendapatkan status terkini operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta (CGK).
“Usaha turut digerakkan bersama beberapa agensi kerajaan Indonesia termasuk Kementerian Luar Negeri, Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizika (BMKG) serta Direktorat Jenderal Imigrasi bagi mendapatkan perkembangan terkini dan mengenal pasti fasilitasi yang diperlukan,” menurut kenyataan kedutaan.
Rakyat Malaysia yang terjejas dinasihatkan kekal tenang serta menguruskan keperluan penginapan, makanan dan pengangkutan menggunakan sumber peribadi atau bantuan keluarga serta rakan-rakan buat sementara waktu.
Pihak kedutaan bersedia membantu mencadangkan lokasi penginapan yang bersesuaian kepada rakyat Malaysia yang memerlukan.
Mereka juga dinasihatkan supaya sentiasa menyemak status penerbangan dengan syarikat penerbangan masing-masing dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan.
Bagi yang mempunyai penerbangan dari atau melalui Jakarta, sentiasa mengikuti perkembangan semasa serta mempertimbangkan laluan alternatif sekiranya diperlukan.