
KUALA LUMPUR, 7 Sept – Ringgit ditutup rendah sedikit pada Isnin selepas Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan data gaji bukan ladang (NFP) yang kukuh selain pasaran menunggu laporan inflasi AS yang akan dikeluarkan lewat minggu ini.
- Ringgit ditutup rendah pada Isnin selepas data gaji bukan ladang AS kukuh dan pasaran menantikan laporan inflasi AS minggu ini.
- Data NFP AS Ogos mencatatkan 162,000 pekerjaan, melebihi ramalan konsensus 55,000 pekerjaan.
- Ekonomi Bank Muamalat Dr Mohd Afzanizam: laporan IHP AS bakal tentukan sentimen pasaran dan FOMC akan mesyuarat minggu depan.
- Ringgit susut berbanding mata wang utama dan serantau termasuk euro, pound, yen, peso, dolar Singapura, baht dan rupiah.
Data NFP AS yang dikeluarkan pada Jumaat mencatatkan 162,000 pekerjaan pada Ogos, melebihi ramalan konsensus sebanyak 55,000 pekerjaan.
Pada 6 petang, ringgit susut sedikit kepada 4.0440/0485 berbanding dolar AS daripada 4.0425/0465 semasa ditutup Jumaat lepas.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pasaran kini memberi tumpuan kepada Indeks Harga Pengguna (IHP) AS yang akan dikeluarkan pada Jumaat.
“Laporan IHP AS yang akan dikeluarkan pada Jumaat bakal menjadi faktor yang menentukan sentimen pasaran memandangkan anggota Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) akan bermesyuarat semula minggu depan bagi memutuskan kadar Dana Fed.
“Selain itu, pegawai Rizab Persekutuan (Fed) akan berkongsi perkembangan terkini mengenai pemboleh ubah makroekonomi seperti Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kadar inflasi, kadar pengangguran dan kadar Dana Fed,” katanya kepada Bernama.
Mesyuarat FOMC yang seterusnya dijadualkan berlangsung pada 15 dan 16 September.
Pada akhir dagangan, ringgit ditutup lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ringgit susut berbanding euro kepada 4.6991/7044 daripada 4.6962/7008 pada Jumaat lepas, rendah berbanding pound Britain kepada 5.4736/4796 daripada 5.4663/4717 dan berkurangan berbanding yen Jepun kepada 2.6173/6204 daripada 2.5832/5860.
Ringgit turut diniagakan lebih rendah berbanding mata wang serantau.
Unit tempatan susut sedikit berbanding peso Filipina kepada 6.46/6.47 daripada 6.45/6.46 pada Jumaat lepas dan menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.1943/1981 daripada 3.1888/1923.
Ringgit menurun berbanding baht Thailand kepada 12.3041/3231 daripada 12.2693/2863 dan turut diniagakan rendah berbanding rupiah Indonesia pada 229.2/229.6 berbanding 229.1/229.4 semasa ditutup sebelumnya. -BERNAMA