
TAPAH, 27 Mei -Seorang lelaki maut, manakala lima lagi cedera parah dalam kemalangan melibatkan dua buah kenderaan di jalan berhampiran Tasek Temoh dari arah Tapah, awal pagi tadi.
- Pasukan bomba dari Balai Tapah dan Kampar digerakkan selepas menerima laporan pada 2.39 pagi.
- Kemalangan melibatkan sebuah kereta dan sebuah MPV bertembung dari arah bertentangan.
- Seorang lelaki 29 tahun disahkan meninggal di lokasi oleh pegawai perubatan KKM; mangsa cedera dihantar ke hospital.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah dan Kampar digerakkan ke lokasi kejadian, selepas menerima laporan pada 2.39 pagi.
Setibanya di lokasi mendapati kemalangan melibatkan sebuah kereta dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang telah bertembung dari arah bertentangan.
“Mangsa lelaki berusia 29 tahun yang berada di dalam kereta disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Seorang lagi lelaki yang turut berada dalam kereta tersebut bersama empat mangsa lain yang berada dalam MPV mengalami kecederaan parah, manakala seorang wanita cedera ringan,” katanya dalam satu kenyataan.
Semua mangsa yang cedera dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut, manakala mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.