
KUALA TERENGGANU, 25 Mei– Hasil bedah siasat terhadap tiga mangsa insiden pelantar minyak Sepat di perairan Terengganu, mendapati punca kematian berbeza bagi setiap mangsa.
- Bedah siasat mendapati punca kematian berbeza bagi setiap mangsa.
- Nik Muhammad Hafifi Ab Majid disahkan mati akibat kecederaan teruk pada abdomen dipercayai akibat hentakan kuat.
- Muhamad Faezuan Hakim Mohammad Bustaman meninggal dunia akibat kecederaan serius pada bahagian leher.
- Ahmad Fiqri Zakaria disahkan maut akibat lemas.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Azli Mohd Noor berkata, mangsa pertama, Nik Muhammad Hafifi Ab Majid disahkan meninggal dunia akibat kecederaan teruk pada bahagian abdomen dipercayai akibat hentakan kuat.
Manakala mangsa kedua, Muhamad Faezuan Hakim Mohammad Bustaman meninggal dunia akibat kecederaan serius pada bahagian leher.
Mangsa ketiga, Ahmad Fiqri Zakaria pula disahkan maut akibat lemas.
“Proses bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu mengambil masa lebih empat jam bermula pukul 10 pagi,” katanya.
Kesemua jenazah telah dituntut oleh ahli keluarga masing-masing untuk urusan pengebumian.
Ketika kejadian pukul 12.50 tengah hari semalam, kesemua mangsa dipercayai menaiki bot penyelamat dari platform berkenaan untuk menjalankan kerja penyelenggaraan di bahagian bawah struktur pelantar.