
PULAU BANGGI, 24 Mei – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mempergiat pendekatan “turun padang” menerusi Kempen Jerayawara Skuad Antidadah Dua Roda sempena Program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah (JABD) 2026 bagi memperkukuh usaha pencegahan dadah di peringkat komuniti.
- Memfokuskan perlindungan komuniti, institusi keluarga dan masyarakat kampung melalui penglibatan aktif penduduk setempat.
- Pendekatan ini merupakan anjakan paradigma pencegahan dadah dengan pendidikan digerakkan terus ke akar umbi.
- Program meningkatkan kesedaran tentang bahaya dadah dan menggalakkan penglibatan komuniti dalam aktiviti sihat.
- Pelaksanaan JABD melibatkan kerjasama AADK, KDN dan komuniti, memberi perhatian khusus untuk memastikan Pulau Banggi bebas dadah.
Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh berkata, program itu memberi fokus kepada perlindungan komuniti, institusi keluarga dan masyarakat kampung melalui penglibatan aktif masyarakat setempat.
Menurut beliau, pendekatan berkenaan merupakan anjakan paradigma dalam agenda pencegahan dadah negara apabila usaha mendidik masyarakat tidak lagi hanya tertumpu di peringkat atasan, sebaliknya digerakkan terus ke akar umbi.
“Kita terus menjalankan pendekatan turun padang kepada komuniti, keluarga dan masyarakat kampung. Kempen pencegahan dadah tidak boleh hanya berpusat di peringkat atasan tetapi perlu digerakkan terus kepada masyarakat.
“Melalui program seperti ini, masyarakat lebih sedar tentang bahaya dadah kepada diri, keluarga dan komuniti, selain menggalakkan penglibatan dalam aktiviti sihat,” katanya selepas menghadiri program berkenaan di Pulau Banggi, hari ini.
Terdahulu, majlis perasmian program itu disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banggi, Datuk Mohammad Mohamarin.
Mengulas lanjut, Ruslin berkata, Program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah (JABD) dilaksanakan di seluruh negara dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk AADK, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan komuniti setempat.
Katanya, Pulau Banggi turut diberikan perhatian khusus bagi memastikan kawasan itu terus bebas daripada ancaman penyalahgunaan dadah.
“Program ini bukan hanya melibatkan AADK dan KDN, tetapi memerlukan kerjasama semua pihak termasuk masyarakat bagi memastikan institusi keluarga sentiasa dilindungi daripada gejala dadah,” katanya.
Turut hadir Pengarah AADK Sabah, Puan Elmariah Chung; Penolong Pegawai Daerah Banggi, Jaslee Jaafar; dan Pengerusi Skuad Antidadah Sabah, Datuk Mazlan @ Joehari Manan.