Penunjuk perasaan Bolivia dan polis bertempur

Foto REUTERS

LA PAZ, 23 Mei – Pasukan polis pencegah rusuhan Bolivia bertempur dengan penunjuk perasaan antikerajaan di sini buat kali kedua dalam tempoh seminggu, ketika kesatuan sekerja dan kumpulan peribumi terus mendesak Presiden Rodrigo Paz meletak jawatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kebanyakan premis perniagaan di pusat bandar La Paz tutup operasi susulan jangkaan pertempuran.
  • Negara dilanda krisis ekonomi terburuk sejak 1980-an, dengan kekurangan bahan api, mata wang asing dan inflasi melonjak.
  • Sekatan jalan raya sejak awal Mei mencetuskan kekurangan makanan, ubat dan bahan api di ibu negara.
  • Kerajaan mendakwa bekas Presiden Evo Morales mendorong pergolakan; Morales dilaporkan bersembunyi dan disiasat atas pertuduhan pemerdagangan bawah umur.

Tuntutan agar pemimpin konservatif itu berundur terus berlarutan, meskipun beliau sebelum ini berjanji untuk menangani rungutan komuniti pekerja dan penduduk asal.

Kebanyakkan premis perniagaan di pusat bandar La Paz bertindak menutup operasi mereka susulan jangkaan berulangnya pertempuran seperti demonstrasi serupa pada Isnin lepas.

Presiden Paz mengambil alih pentadbiran negara enam bulan lalu di tengah-tengah krisis ekonomi terburuk Bolivia sejak tahun 1980-an, yang menyaksikan masalah kekurangan bekalan bahan api serta mata wang asing, selain kadar inflasi yang melonjak tinggi.

Bagi meredakan ketegangan, Paz telah memecat menteri buruhnya yang tidak popular dan berjanji untuk memberi ruang lebih besar kepada pelombong serta kumpulan penunjuk perasaan dalam pembentukan dasar negara, namun usaha itu dilihat gagal membuahkan hasil.

Dalam protes berkenaan, kumpulan penunjuk perasaan yang berarak ke pusat bandar bertindak membaling batu dan kayu ke arah polis, yang kemudiannya membalas dengan melepaskan gas pemedih mata bagi menghalang mereka daripada mendekat bangunan kerajaan.

Sementara itu di El Alto, pinggir bandar La Paz yang majoritinya dihuni komuniti peribumi, penunjuk perasaan dilaporkan menyekat laluan masuk ke lapangan terbang antarabangsa utama di bandar berkenaan.

Sekatan jalan raya di laluan menuju ke La Paz yang berlarutan sejak awal Mei itu kini mula mencetuskan krisis kekurangan bekalan makanan, ubat-ubatan dan bahan api di ibu negara itu.

Kerajaan pimpinan Paz mendakwa bekas Presiden sosialis, Evo Morales, menjadi dalang yang mencetuskan pergolakan terbaharu itu.

Morales dilaporkan sedang bersembunyi daripada buruan polis di kubu kuatnya di Chapare sejak akhir tahun 2024 atas pertuduhan pemerdagangan bawah umur.

Kemenangan Paz dalam pilihan raya sebelum ini menamatkan penguasaan sosialis selama dua dekad di Bolivia, sekali gus menandakan kebangkitan gelombang politik sayap kanan di Amerika Latin. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.