WHO sahkan satu lagi kru kapal MV Hondius positif Hantavirus

Foto AFP

GENEVA, 22 Mei – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan kes terbaharu Hantavirus melibatkan kru kapal persiaran, MV Hondius yang dikuarantin.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jumlah kes disyaki dan disahkan meningkat kepada 12, termasuk tiga kematian.
  • Institut RIVM mengesahkan virus Andes; pesakit dimasukkan hospital dan diasingkan sebagai langkah pencegahan.
  • Lebih 600 kontak dipantau di 30 negara; beberapa kontak berisiko tinggi masih dikesan.

Kru berkenaan yang turun di Kepulauan Canary, Sepanyol sebelum dihantar pulang ke Belanda, disahkan dijangkiti virus berkenaan.

Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata pengesahan itu menjadikan jumlah keseluruhan kes disyaki dan disahkan positif kini meningkat kepada 12 kes, termasuk tiga kematian.

“Hari ini, Belanda mengesahkan satu lagi kes membabitkan kru kapal yang turun di Tenerife sebelum dihantar pulang ke Belanda dan menjalani kuarantin,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau bagaimanapun menegaskan tiada kematian baharu dilaporkan sejak pertama kali wabak berkenaan dilaporkan pada 2 Mei lalu.

Tedros terus menggesa negara terlibat supaya memantau semua penumpang dan kru kapal secara teliti sepanjang baki tempoh kuarantin.

“Lebih 600 kontak masih dipantau di 30 negara dan sebilangan kecil kontak berisiko tinggi, masih sedang dikesan,” katanya.

Sementara itu, pihak berkuasa Belanda memaklumkan kru terbabit telah dibawa ke hospital sebagai langkah berjaga-jaga.

Institut Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Kebangsaan Belanda (RIVM) dalam satu kenyataan menyebut virus Andes dikesan pada individu yang sedang menjalani kuarantin di negara itu.

“Pesakit kini dimasukkan ke hospital sebagai langkah pencegahan dan ditempatkan dalam pengasingan,” menurut kenyataan itu.

RIVM melaporkan semua individu yang dibawa pulang dari kapal milik Belanda itu menjalani ujian setiap minggu dan keputusan positif berkenaan disahkan oleh dua makmal berasingan.

Individu yang disahkan positif itu sebelum ini menjalani kuarantin di rumah dan pihak berkuasa meminta orang ramai supaya tidak panik.

“RIVM memahami berita ini mungkin menimbulkan persoalan atau kebimbangan. Namun, risiko penularan lanjut di negara itu masih rendah,” menurut kenyataan itu lagi.

Kapal persiaran berkenaan memulakan pelayaran pada 1 April dari Ushuaia, Argentina sebelum singgah di beberapa pulau terpencil di Lautan Atlantik Selatan, menuju ke Cape Verde dan seterusnya ke Tenerife di Kepulauan Canary, Sepanyol.

Kapal itu berlabuh di pelabuhan Rotterdam, Belanda pada Isnin lalu dengan kru minimum dijangka menjalani kuarantin selama beberapa minggu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.