
PUTRAJAYA, 23 Mei – Pemeriksaan mengejut akan giat dilaksanakan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bagi memastikan pusat jagaan kanak-kanak di negara ini beroperasi secara berdaftar dan selamat.
- Tindakan tegas akan diambil terhadap pusat jagaan yang beroperasi tanpa kelulusan, termasuk arahan penutupan segera.
- Jabatan Kebajikan terus menjalankan pemeriksaan mengejut; pusat yang terlepas pandang dikesan melalui maklum balas atau aduan masyarakat.
- Kementerian menyediakan penanda khas untuk mengenal pasti pusat jagaan berdaftar.
- Masyarakat dan ibu bapa diminta melaporkan pusat mencurigakan serta membuat semakan sebelum menempatkan anak.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata pemeriksaan mengejut itu akan dilakukan dari semasa ke semasa bagi memastikan setiap pusat jagaan mematuhi syarat ditetapkan.
Beliau berkata tindakan tegas akan diambil terhadap premis yang didapati beroperasi tanpa kelulusan, termasuk mengarahkan pusat jagaan berkenaan agar ditutup segera.
“Malah ketika ini, Jabatan Kebajikan juga masih menjalankan pemeriksaan mengejut bagi memastikan semua pusat jagaan berdaftar.
“Namun, kadangkala terdapat pusat yang terlepas pandang kerana pihak kami tidak mengetahui kewujudannya melainkan kami menerima maklum balas atau aduan daripada jiran atau mana-mana pihak yang mengesyaki terdapat institusi yang tidak berdaftar, mereka perlu memaklumkan kepada kami,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis ‘A Journey of Malaysia’s Participation under the Convention on the Rights of the Child‘ di Putrajaya.
Datuk Seri Nancy berkata bagi mewujudkan ruang persekitaran yang lebih selamat kepada kanak-kanak, pendekatan menyeluruh bersama komuniti amat penting.
Ke arah itu, beliau menyeru masyarakat untuk memainkan peranan dengan menyalurkan maklumat sekiranya mengesyaki terdapat pusat jagaan yang beroperasi secara mencurigakan.
Beliau turut memaklumkan kementerian sebelum ini juga telah menyediakan penanda khas sebagai pengenalan bagi menujukkan bahawa pusat jagaan tersebut berdaftar.
Sehubungan itu, beliau berharap ibu bapa bersikap lebih cakna dengan membuat semakan sebelum menempatkan anak-anak mereka di mana-mana pusat jagaan.