
SAUDARA PENGARANG
- Edutourism gabungan pelancongan dan pembelajaran, menyediakan pengalaman autentik melalui aktiviti interaktif seperti makanan tradisional, pertanian dan kraftangan.
- Meningkatkan ekonomi komuniti dengan membuka peluang pendapatan tambahan kepada petani, pengusaha inap desa, peniaga makanan, belia dan wanita setempat.
- Sokongan kerajaan dan teknologi digital memperkukuh edutourism melalui latihan, promosi, pensijilan serta pemasaran dan tempahan dalam talian.
Era ekonomi yang semakin mencabar dan kompetitif hari ini menyaksikan komuniti tempatan tidak lagi boleh bergantung sepenuhnya kepada sektor tradisional sebagai sumber utama pendapatan.
Pendekatan baharu yang lebih kreatif dan lestari perlu diteroka bagi memastikan ekonomi komuniti terus berkembang. Salah satu pendekatan yang semakin mendapat perhatian ialah edutourism atau pelancongan pendidikan.
Edutourism merupakan gabungan aktiviti pelancongan dan pembelajaran yang memberi pengalaman bermakna kepada pengunjung. Pelancong bukan sahaja datang untuk bercuti, malah mereka turut memperoleh ilmu, kemahiran dan pengalaman secara langsung melalui penglibatan bersama komuniti setempat.
Konsep ini semakin relevan kerana pelancong masa kini, khususnya dari luar negara, lebih cenderung kepada pengalaman autentik berbanding pelancongan konvensional.
Melalui edutourism, sesebuah kampung atau komuniti boleh menonjolkan keunikan mereka sendiri. Aktiviti seperti perusahaan makanan tradisional, pertanian moden, kraftangan, penternakan, perusahaan desa dan warisan budaya boleh dijadikan produk pembelajaran yang menarik. Pelancong bukan sahaja melihat, tetapi turut merasai sendiri pengalaman tersebut melalui aktiviti interaktif.
Sebagai contoh, pelancong boleh mengikuti kelas membuat kuih tradisional, mempelajari teknik penanaman moden, menyertai aktiviti keusahawanan desa atau memahami budaya masyarakat setempat. Pengalaman seperti ini memberikan nilai tambah yang sukar diperoleh di bandar atau melalui media sosial semata-mata. Konsep Pelancongan Berasaskan Komuniti
Di Selangor misalnya, konsep pelancongan berasaskan komuniti semakin berkembang melalui penglibatan usahawan tempatan dalam sektor agro dan inap desa.
Antara contoh yang sering diketengahkan ialah komuniti di Sungai Panjang Agro Tourism (SPAT), Sekinchan dan Inap Desa Sungai Sireh yang menawarkan pengalaman lawatan kebun, aktiviti sawah padi, penginapan kampung dan aktiviti budaya setempat kepada pelancong.
Apa yang menarik, program seperti ini bukan sahaja memberi peluang kepada pengusaha inap desa, malah turut membuka ruang kepada petani, peniaga makanan, pengusaha kraftangan, belia kampung dan golongan wanita untuk menjana pendapatan tambahan. Secara tidak langsung, ekonomi komuniti menjadi lebih aktif dan berdaya tahan.
Selain itu, edutourism turut membantu golongan belia melihat potensi baharu di kawasan mereka sendiri. Ramai anak muda sebelum ini beranggapan peluang ekonomi hanya wujud di bandar besar.
Namun melalui pembangunan program edutourism, belia boleh terlibat sebagai pengusaha program, pemandu pelancong komuniti, pencipta kandungan digital dan usahawan pelancongan desa.
Secara tidak langsung, inisiatif ini membantu kerajaan mengurangkan kebergantungan komuniti terhadap peluang pekerjaan yang terhad di luar bandar, di samping melahirkan lebih ramai usahawan tempatan yang berupaya menjana peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.
Pemerkasaan Edutourism dalam Pembangunan Usahawan Komuniti
Usaha memperkasakan sektor ini turut diperkukuh melalui peranan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) yang giat melaksanakan pelbagai inisiatif seperti program inap desa, agropelancongan, latihan hospitaliti serta pembangunan produk pelancongan komuniti.
MOTAC juga menyediakan pelbagai bentuk sokongan termasuk promosi, latihan kemahiran, pensijilan dan bantuan pembangunan industri pelancongan tempatan.
Di peringkat negeri pula, beberapa kerajaan negeri turut memainkan peranan aktif dalam memperkukuh ekosistem pelancongan komuniti. Sebagai contoh di Selangor, Tourism Selangor selaku agensi promosi pelancongan negeri memainkan peranan penting melalui pelbagai program pembangunan usahawan tempatan.
Antaranya ialah Program Hos Komuniti Setempat Selangor (HKSS) yang melatih penduduk tempatan menjadi hos dan pemandu pelancong komuniti bagi memperkenalkan budaya, warisan serta pengalaman unik masyarakat setempat kepada para pelawat.
Selain itu, Tourism Selangor turut bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan komuniti dalam membangunkan program pelancongan agro serta pemurnian produk pelancongan melalui Program Pemurnian Pelancongan Selangor (P3S) yang bertujuan meningkatkan kualiti perkhidmatan, keselamatan dan daya saing produk pelancongan komuniti.
Di negeri lain, pendekatan yang hampir sama turut dilaksanakan. Sebagai contoh di Melaka, pelbagai inisiatif pelancongan warisan dan komuniti giat dibangunkan dengan memberi tumpuan kepada penglibatan usahawan tempatan dalam sektor budaya dan sejarah negeri tersebut.
Sementara itu, di Sarawak, pelancongan berasaskan komuniti (Community-Based Tourism) turut diperkasakan melalui penglibatan komuniti etnik dan kampung tradisional yang menawarkan pengalaman budaya, alam semula jadi serta kehidupan seharian masyarakat setempat kepada pelancong.
Di Perak pula, pembangunan inap desa dan pelancongan desa terus diperkukuh dengan penglibatan aktif komuniti luar bandar dalam menjana pendapatan melalui sektor pelancongan berasaskan pengalaman.
Secara keseluruhannya, inisiatif di peringkat persekutuan dan negeri ini menunjukkan bahawa edutourism bukan sahaja berperanan sebagai produk pelancongan, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan usahawan komuniti yang lebih inklusif dan lestari.
Peranan Teknologi Digital dalam Memperkukuh Edutourism
Dalam konteks semasa, penggunaan teknologi digital turut berperanan dalam memperkukuh sektor edutourism. Promosi melalui TikTok, Facebook, Instagram dan platform digital lain membolehkan produk komuniti dikenali dengan lebih meluas.
Kini, sebuah kampung kecil juga mampu menarik perhatian pelancong sekiranya mempunyai identiti dan pengalaman unik yang dipasarkan secara kreatif.
Malah, teknologi digital bukan sahaja berfungsi sebagai medium promosi, tetapi turut membantu usahawan komuniti membina jenama dan meningkatkan keyakinan pelancong.
Video pendek yang memaparkan pengalaman membuat makanan tradisional, suasana sawah padi, aktiviti budaya atau kehidupan desa mampu memberi tarikan emosi kepada penonton untuk hadir sendiri ke lokasi tersebut.
Selain itu, penggunaan platform digital juga memudahkan proses tempahan penginapan, pakej lawatan dan aktiviti komuniti secara dalam talian. Keadaan ini menjadikan sektor edutourism lebih mudah diakses oleh pelancong tempatan mahupun antarabangsa.
Pendekatan digital seperti penggunaan kod QR, peta digital dan pembayaran tanpa tunai turut membantu meningkatkan pengalaman pelawat menjadi lebih moden dan sistematik.
Dalam masa yang sama, teknologi digital membuka peluang kepada golongan belia desa untuk terlibat secara aktif dalam pembangunan komuniti.
Kemahiran menghasilkan kandungan media sosial, fotografi, videografi dan pemasaran digital kini menjadi aset penting dalam memperkenalkan produk pelancongan komuniti kepada khalayak yang lebih luas.
Hakikatnya, edutourism bukan sekadar aktiviti pelancongan konvensional, tetapi merupakan pendekatan pembangunan komuniti yang menggabungkan ilmu, budaya dan ekonomi secara lestari.
Sekiranya dimanfaatkan secara strategik, ia mampu menjadi pemangkin baharu dalam memperkasa ekonomi masyarakat setempat khususnya dalam kalangan usahawan komuniti.
Masa depan komuniti tidak hanya ditentukan oleh sumber yang dimiliki, tetapi oleh kebijaksanaan dalam menukar pengalaman, budaya dan warisan kepada nilai ekonomi yang mampu memberi manfaat berpanjangan kepada generasi akan datang.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Dr Suhaila Nadzri
Pensyarah
Jabatan Pengurusan & Perniagaan
Fakulti Ekonomi, Perakaunan dan Pengurusan (FEPP)
Universiti Islam Selangor
E-mel: suhaila.nadzri@uis.edu.my