Kosmetik halal: Antara trend kecantikan dan tuntutan syariah

Gambar hiasan/Penulis

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Kebimbangan pengguna Muslim terhadap status halal bahan kosmetik seperti kolagen, gelatin, gliserin dan allantoin tanpa pensijilan jelas.
  • Pengeluar menggunakan istilah saintifik yang mengelirukan menyukarkan pengguna mengenal pasti sumber bahan dan potensi ketidakpatuhan syariah.
  • Pengguna digalakkan semak sijil halal JAKIM, aplikasi SmartHalal dan daftar NPRA sebelum memilih produk untuk keselamatan dan keberkatan.

Industri kosmetik berkembang pesat seiring peningkatan kesedaran masyarakat terhadap penjagaan diri dan penampilan. Hari ini, produk kosmetik bukan sahaja digunakan oleh wanita, malah turut menjadi keperluan harian golongan lelaki.

Pelbagai produk seperti pencuci muka, serum, losyen, alat solek dan produk penjagaan rambut semakin mendapat tempat dalam pasaran tempatan dan antarabangsa.

Kosmetik ditakrifkan sebagai bahan atau persediaan yang digunakan pada bahagian luaran tubuh manusia bagi tujuan membersih, mewangikan, mencantikkan atau memelihara tubuh dalam keadaan baik.

Namun, di sebalik lambakan produk kecantikan yang menjanjikan kulit sihat dan berseri, timbul persoalan penting dalam kalangan pengguna Muslim iaitu sama ada produk tersebut benar-benar halal dan suci.

Dalam Islam, konsep halal bukan hanya tertumpu kepada makanan dan minuman semata-mata, tetapi turut melibatkan produk kegunaan harian termasuk kosmetik.

Kesedaran masyarakat terhadap kosmetik halal kini semakin meningkat, namun masih ramai pengguna kurang memahami kandungan sebenar sesuatu produk.

Lebih membimbangkan, terdapat bahan tertentu dalam produk kosmetik yang berpotensi berasal daripada sumber haram atau tidak mematuhi kehendak syariah.

Antara bahan yang sering menimbulkan keraguan ialah derivatif babi, bahan daripada haiwan yang tidak disembelih mengikut syarak serta alkohol tertentu yang tidak memenuhi piawaian halal.

Cabaran utama pengguna ialah kesukaran mengenal pasti sumber bahan tersebut kerana kebanyakannya menggunakan istilah saintifik yang sukar difahami.

Bahan Kritikal Dalam Produk Kosmetik

1. Asid Lemak (Fatty Acid)

Asid lemak banyak digunakan dalam produk penjagaan kulit kerana berfungsi mengekalkan kelembapan dan melindungi kulit daripada kerosakan. Bahan ini boleh diperoleh daripada sumber tumbuhan atau haiwan termasuk haiwan yang tidak halal.

Asid oleik, stearik dan palmitik merupakan antara bahan yang biasa digunakan dalam formulasi kosmetik moden. Tanpa pensijilan halal yang jelas, pengguna sukar menentukan sumber sebenar bahan tersebut.

2. Kolagen (Collagen)

Kolagen terkenal sebagai bahan utama dalam produk anti-penuaan dan penjagaan kulit. Ia membantu mengekalkan struktur kulit supaya kelihatan anjal dan muda.

Namun, sebahagian kolagen dihasilkan daripada sumber haiwan seperti babi atau haiwan yang tidak disembelih mengikut syarak. Faktor harga murah dan bekalan yang mudah diperoleh menyebabkan sumber tidak halal masih digunakan dalam sesetengah produk di pasaran.

3. Gelatin (Gelatine)

Gelatin pula terhasil daripada pemprosesan kolagen haiwan dan digunakan sebagai agen pemekat serta pelembap dalam kosmetik. Sekiranya sumber asal haiwan tidak halal atau tidak disembelih mengikut syarak, maka penggunaannya turut menjadi isu dari sudut hukum.

4. Gliserin (Glycerin)

Gliserin sering digunakan dalam losyen dan produk penjagaan kulit kerana sifatnya yang melembapkan dan menenangkan kulit. Walaupun boleh dihasilkan daripada tumbuhan, gliserin juga boleh diperoleh daripada lemak haiwan.

Tanpa maklumat yang jelas, pengguna sukar memastikan sama ada bahan tersebut benar-benar halal.

5. Allantoin

Allantoin terkenal kerana kemampuannya membantu penyembuhan luka dan melembapkan kulit. Namun, bahan ini juga boleh dihasilkan daripada sumber urin haiwan yang dikategorikan sebagai najis menurut syarak.

Walaupun telah melalui proses kimia tertentu, status kesuciannya masih menjadi perbahasan dan memerlukan perhatian pengguna Muslim.

Helah Nama Saintifik yang Mengelirukan

Apa yang lebih membimbangkan ialah terdapat pengeluar menggunakan nama saintifik atau istilah kimia yang kompleks bagi menyembunyikan sumber sebenar sesuatu bahan. Keadaan ini menyebabkan pengguna mudah terpedaya dengan label dan promosi produk tanpa memahami kandungan sebenar.

Selain isu halal, penggunaan bahan yang tidak diproses secara bersih dan selamat juga boleh memberi risiko kesihatan kepada pengguna. Sesetengah bahan daripada sumber haiwan berisiko membawa pencemaran bakteria atau penyakit sekiranya tidak dikendalikan mengikut piawaian yang betul.

Pengguna perlu menjadi lebih berhati-hati dan bijak ketika memilih produk kosmetik. Langkah paling mudah ialah memastikan produk mempunyai sijil halal yang diiktiraf seperti logo halal JAKIM atau badan pensijilan luar negara yang diiktiraf Malaysia.

Selain itu, pengguna boleh membuat semakan melalui aplikasi SmartHalal, Portal Halal Malaysia dan laman sesawang National Pharmaceutical Regulatory Agency (NPRA) bagi memastikan sesuatu produk berdaftar dan selamat digunakan.

Bagaimanapun, tidak semua produk kosmetik di pasaran mempunyai pensijilan halal terutama produk import. Oleh itu, pengguna perlu mengambil inisiatif membaca label kandungan serta mengelakkan produk yang mempunyai sumber bahan meragukan.

Cantik dengan Halal dan Berkat

Dalam era media sosial hari ini, ramai pengguna mudah terpengaruh dengan trend kecantikan dan promosi produk viral tanpa menilai aspek halal dan keselamatan.

Hakikatnya, memilih kosmetik halal bukan sekadar memenuhi tuntutan agama, tetapi juga melambangkan tanggungjawab menjaga kebersihan, kesucian dan kesejahteraan diri.

Keinginan untuk tampil cantik bukanlah sesuatu yang dilarang dalam Islam. Namun, kecantikan yang sebenar perlu selari dengan nilai syariah dan keberkatan.

Dalam mengejar penampilan yang menarik, pengguna Muslim sewajarnya lebih peka terhadap kandungan produk yang digunakan agar kecantikan yang dimiliki bukan sahaja indah di mata, tetapi juga membawa ketenangan dan keberkatan dalam kehidupan.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Wan Fatin Nazihah Wan Makazan
Pegawai Teknologi Makanan
Malaysia Halal Analysis Centre
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)


Muhammad Alrazi Ahmad Nor Komar
Pensyarah, Jabatan Pengurusan dan Perniagaan
Fakulti Ekonomi, Perakaunan dan Pengurusan
Universiti Islam Selangor (UIS)
E-mel: m.alrazi@uis.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.