Gagal mengotakan janji, Texas saman Whatsapp dan Meta

Foto REUTERS

HARRISON COUNTY, 22 Mei – Pejabat Peguam Negeri Texas pada Khamis memfailkan saman terhadap aplikasi sembang popular WhatsApp dan syarikat induknya, Meta Platforms Inc (Meta), atas dakwaan mengelirukan pengguna berhubung tahap keselamatan dan skop perlindungan penyulitan (encryption) aplikasi berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tuntutan mendakwa WhatsApp dan Meta memberi jaminan palsu bahawa mesej dilindungi sepenuhnya, walhal syarikat didakwa boleh mengakses hampir semua komunikasi.
  • Saman difailkan di bawah Akta Amalan Perdagangan Jelik Texas untuk melarang pemasaran yang mengelirukan dan melindungi pengguna negeri itu.
  • Paxton memohon perintah menghalang Meta dan WhatsApp mengakses mesej tanpa kebenaran bertulis serta menuntut penalti kewangan.
  • Meta menafikan dakwaan, menyatakan WhatsApp tidak boleh mengakses komunikasi yang telah disulitkan, dan menolak tuduhan sebagai palsu.

Tindakan undang-undang yang dikemukakan di mahkamah Harrison County itu mendakwa kedua-dua syarikat terbahit memberi jaminan palsu kepada pengguna bahawa mesej mereka dilindungi secara menyeluruh, sedangkan pihak syarikat didakwa mempunyai akses kepada “hampir kesemua” komunikasi peribadi dalam aplikasi itu.

Saman tersebut difailkan di bawah Akta Amalan Perdagangan Jelik Texas, yang merupakan undang-undang utama perlindungan pengguna di negeri berkenaan, bagi menyekat amalan pemasaran yang dianggap mengelirukan pasaran domestik.

“WhatsApp memasarkan perkhidmatan mereka sebagai selamat dan disulitkan, namun mereka gagal menunaikan janji-janji berkenaan,” kata Peguam Negara Texas, Ken Paxton dalam satu kenyataan rasmi semalam.

Menerusi tuntutan mahkamah itu, pihak Paxton memohon perintah mahkamah bagi menghalang Meta dan WhatsApp daripada terus mengakses mesej peribadi penduduk Texas tanpa kebenaran bertulis, selain menuntut penalti kewangan yang setimpal atas pelanggaran undang-undang pengguna.

Bagaimanapun, jurucakap Meta, Andy Stone, menerusi satu kenyataan di media sosial menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai palsu selain menegaskan bahawa WhatsApp tidak boleh mengakses komunikasi yang telah disulitkan oleh pengguna.

Tindakan undang-undang terbaharu Texas terhadap Meta dipandu oleh pendedahan laporan pemberi maklumat (whistleblower) kepada Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC) Amerika Syarikat serta laporan media mengenai siasatan agensi persekutuan sebelum ini.

Langkah agresif Pejabat Peguam Negeri Texas menyaman Meta dan WhatsApp ini turut menandakan kesinambungan siri tindakan undang-undang berterusan oleh negeri itu dalam mengekang pelanggaran privasi data oleh syarikat teknologi gergasi global.

Sebelum ini, pentadbiran Paxton telah memfailkan beberapa saman data peribadi yang serupa terhadap syarikat-syarikat besar termasuk Google, yang menyaksikan syarikat gergasi enjin carian itu akhirnya bersetuju membayar penyelesaian berjumlah AS$1.375 bilion pada Mei tahun lepas bagi menyelesaikan tuntutan pelanggaran data peribadi pengguna. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.