
MACHANG, 22 Mei – Enam warga India sanggup membayar RM3,500 seorang kepada ejen bagi memasuki negara ini secara haram melalui pengkalan haram di sekitar Bukit Bunga di Stesen Bas Machang malam tadi.
- Ditahan semasa operasi Op Taring Wawasan di Stesen Bas Machang sekitar pukul 8.30 malam.
- Kesemua mereka gagal mengemukakan dokumen perjalanan atau pengenalan diri yang sah.
- Ditahan di lokap IPD Machang dan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63; kes diserahkan kepada BSJD.
Komander Briged Tenggara PGA, SAC Ahmad Radzi Hussain berkata, lima lelaki dan seorang wanita berusia antara 21 hingga 36 tahun itu ditahan menerusi Op Taring Wawasan kira-kira pukul 8.30 malam.
Katanya, anggota Cawangan Risik Batalion 7 PGA Kuantan menjalankan pemeriksaan di kawasan stesen bas berkenaan sebelum menahan sekumpulan individu dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan atau pengenalan diri yang sah untuk memasuki Malaysia.
“Siasatan awal mendapati mereka memasuki negara ini melalui pengkalan haram di sekitar Bukit Bunga dengan bantuan ejen dikenali sebagai ‘Sandhu Saab’,” katanya kepada RTM pada Jumaat.
Beliau berkata, kesemua individu terbabit turut mengaku dijanjikan pekerjaan di Kuala Lumpur sebagai pekerja hotel oleh seorang individu dikenali sebagai “Dibi”.
“Kesemua tangkapan dipercayai memasuki Malaysia untuk bekerja dan sanggup membayar sehingga RM3,500 seorang kepada ejen,” katanya.
Ahmad Radzi berkata, semua suspek ditahan di Lokap IPD Machang bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Kes diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) IPD Machang untuk tindakan lanjut.