
KUALA LUMPUR, 21 Mei –Aliran masuk dana asing ke pasaran bon Malaysia kekal berterusan pada April 2026, dipacu permintaan kukuh terhadap bon korporat yang mencatatkan aliran masuk bulanan tertinggi sejak 1999.
- Pelabur asing kekal pembeli bersih bon Malaysia pada April dengan aliran masuk bersih RM3.8 bilion.
- Bon korporat merekodkan aliran masuk bersih RM3.7 bilion, meneruskan momentum selepas RM2.8 bilion pada Mac.
- Pegangan asing dalam MGS dan GII hampir tidak berubah, hanya aliran masuk RM48.8 juta pada April.
- Jurang hasil US Treasury dan MGS meningkat, mencapai 104.1 mata asas pada 19 Mei, menjejaskan tarikan sekuriti kerajaan tempatan.
RAM Ratings dalam kenyataan memaklumkan, pelabur asing kekal sebagai pembeli bersih bon Malaysia pada April dengan aliran masuk bersih sebanyak RM3.8 bilion, walaupun lebih perlahan berbanding RM6.1 bilion yang direkodkan pada Mac lalu.
”Daripada jumlah itu, bon korporat mencatat aliran masuk bersih RM3.7 bilion, sekali gus meneruskan momentum kukuh selepas merekodkan RM2.8 bilion pada Mac.
”Sebaliknya, pegangan asing dalam bon kerajaan termasuk Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) hampir tidak berubah dengan aliran masuk hanya RM48.8 juta pada April berbanding RM3.8 bilion aliran masuk bersih bulan sebelumnya,” jelas agensi penarafan kredit itu.
Menurut RAM Ratings, perkembangan itu menunjukkan minat pelabur asing yang lebih besar dan berterusan terhadap bon korporat Malaysia dalam tempoh dua bulan kebelakangan ini.
Sementara itu katanya, jurang hasil antara bon Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) dan MGS meningkat kepada 79 mata asas pada akhir April berbanding 64 mata asas pada akhir Mac.
”Trend itu berterusan pada Mei dengan jurang meningkat kepada 104.1 mata asas setakat 19 Mei lalu, paras tertinggi sejak Julai 2025.
”Keadaan tersebut dijangka boleh mengurangkan daya tarikan sekuriti kerajaan tempatan, apabila pegangan asing dalam instrumen itu susut kepada RM281.7 bilion setakat 14 Mei berbanding RM283.5 bilion pada 30 April lalu,” katanya.