Krisis bekalan global pacu industri kitar semula tempatan

Foto BERNAMA

SETIA ALAM, 20 Mei – Ketidaktentuan rantaian bekalan global mendorong Malaysia memperkukuh industri kitar semula tempatan sebagai langkah strategik mengurangkan kebergantungan terhadap bahan mentah import.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kira-kira 40 peratus sisa harian negara adalah bahan bernilai tinggi seperti plastik, kertas dan logam, berpotensi jadi bahan mentah alternatif.
  • Dasar Tanggungjawab Pengeluar Diperluas dilaksanakan sejak Januari untuk mengenakan caj lebih tinggi kepada pengeluar produk sukar dikitar semula.
  • Kerajaan melalui MIDA menawarkan insentif ESG, termasuk cukai keutamaan dan skim pembiayaan, untuk galakkan pelaburan teknologi mampan dan infrastruktur kitar semula.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Sim Tze Tzin berkata gangguan perdagangan antarabangsa termasuk krisis penutupan Selat Hormuz awal tahun ini memberi isyarat jelas bahawa negara perlu membina sistem industri yang lebih berdaya tahan.

“Kira-kira 40 peratus daripada 15,000 tan sisa harian negara terdiri daripada bahan bernilai tinggi seperti plastik, kertas dan logam yang berpotensi menjadi sumber bahan mentah alternatif,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Ekspo Pengurusan Sisa dan Kitar Semula Malaysia 2026 (MYWARE) serta Ekspo Logistik dan Pergudangan Malaysia 2026 (MYLOG) di Pusat Konvensyen Setia Alam.

Tambahnya lagi, ekonomi kitaran kini menjadi pendekatan jangka panjang bagi memastikan sistem industri dan logistik negara lebih mampan serta tahan terhadap kejutan global.

Bagi mempercepat peralihan itu, kerajaan melaksanakan dasar Tanggungjawab Pengeluar Diperluas (EPR) sejak Januari lalu yang mengenakan caj lebih tinggi kepada pengeluar yang menghasilkan produk sukar dikitar semula.

Pada masa sama, beliau menegaskan pengeluar tempatan turut berdepan tekanan peraturan antarabangsa termasuk Peraturan Reka Bentuk Eko bagi Produk Mampan (ESPR) di Eropah yang mewajibkan produk mengandungi kandungan kitar semula diperakui sebelum dipasarkan.

“Bagi menyokong agenda berkenaan, kerajaan melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menawarkan pelbagai insentif ESG termasuk kadar cukai keutamaan, elaun pelaburan hijau dan skim pembiayaan kepada syarikat yang melabur dalam teknologi mampan serta infrastruktur kitar semula,”jelasnya lagi.

Tambah beliau, syarikat yang menunjukkan prestasi ESG lebih kukuh juga akan memperoleh penilaian insentif lebih baik di bawah kerangka pelaburan baharu negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.