
KUALA LUMPUR, 20 Mei – Kes penipuan dalam talian, khususnya jenayah penipuan pelaburan tidak wujud, dilaporkan terus meningkat.
- Berisiko 'pandemik ekonomi' jika penipuan pelaburan tidak dibendung.
- Pakar menyeru orang ramai peka terhadap modus operandi baharu dan berhati-hati dengan tawaran yang kelihatan mudah.
- Sindiket gunakan 'love scam', kumpulan pelaburan palsu di Telegram dan WhatsApp, serta testimoni palsu oleh bot.
- Teknologi AI boleh cipta video, audio dan poster palsu menyerupai tokoh, tetapi juga digunakan pihak berkuasa mengesan penipuan.
Jika tidak dibendung, keadaan itu dibimbangi boleh mencetuskan “pandemik ekonomi” yang memberi kesan besar kepada masyarakat dan negara.
Pakar Keselamatan Siber, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FCSIT), Universiti Malaya (UM), Profesor Ts. Dr. Ainuddin Wahid Abdul Wahab menyeru orang ramai supaya lebih peka terhadap modus operandi terbaharu jenayah berkenaan.
“Jika keadaan itu terus dibiarkan, ia berpotensi menjadi ‘pandemik ekonomi’ kepada negara. Kesannya amat besar, khususnya terhadap sektor ekonomi dan kewangan negara.”
“Kita sememangnya mahu keluar daripada kesukaran hidup, namun perlu sentiasa berhati-hati. Jika sesuatu itu kelihatan terlalu mudah untuk diperoleh, berkemungkinan ia sebenarnya satu perangkap,” kata beliau selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri, Kota Media.
Mengulas mengenai modus operandi terkini, beliau berkata sindiket kini menggunakan pelbagai pendekatan termasuk ‘love scam’, kumpulan pelaburan palsu di Telegram dan WhatsApp, serta testimoni palsu yang dijana menggunakan teknologi bot.
Menurutnya, penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) menjadikan penipuan pelaburan semakin sukar dikesan kerana ia mampu menghasilkan video, audio dan poster palsu yang menyerupai tokoh terkenal bagi mempengaruhi orang ramai.
Bagaimanapun, teknologi AI turut dimanfaatkan pihak berkuasa dan institusi kewangan untuk mengesan transaksi mencurigakan serta kandungan penipuan di media sosial.