Wisma Putra tuntut 25 rakyat Malaysia tahanan Israel dibebaskan tanpa syarat

Wisma Putra

PUTRAJAYA, 20 Mei – Malaysia menuntut pembebasan tanpa syarat 25 aktivis negara yang ditahan rejim Zionis Israel ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) menuju ke Gaza, pada Ahad lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mendesak jaminan keselamatan bagi semua ahli dan anak kapal yang ditahan serta pelepasan kapal-kapal terbabit.
  • Mengutuk pemintasan dan penahanan kapal di perairan antarabangsa luar pantai Cyprus pada 18 Mei sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa.
  • Menggesa Majlis Keselamatan PBB dan masyarakat antarabangsa bertindak tegas bagi memastikan Israel bertanggungjawab atas pelanggaran antarabangsa.
  • Menegaskan solidariti tidak berbelah bahagi kepada rakyat Palestin dan sokong penubuhan negara merdeka berasaskan sempadan pra-1967, Baitulmaqdis Timur ibu negara.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini berkata Malaysia turut menuntut jaminan keselamatan ke atas semua ahli dan anak kapal yang ditahan serta pelepasan kapal-kapal terbabit.

“Tindakan rejim Zionis Israel memintas dan menahan kapal GSF di perairan antarabangsa di luar pantai Cyprus pada 18 Mei lalu merupakan pelanggaran nyata terhadap undang-undang antarabangsa termasuk undang-undang maritim, kemanusiaan dan hak asasi manusia antarabangsa.

“Malaysia turut mendesak agar jaminan keselamatan diberikan kepada ahli dan anak kapal yang masih berada di atas kapal-kapal berkenaan,” menurut kenyataan itu pada Selasa.

Wisma Putra menegaskan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa perlu bertindak tegas bagi memastikan Israel bertanggungjawab terhadap pelanggaran undang-undang antarabangsa yang berterusan serta serangan terhadap misi kemanusiaan.

“Malaysia turut menegaskan semula solidariti tidak berbelah bahagi kepada rakyat Palestin dan menyokong usaha mencapai keamanan yang adil, komprehensif dan berkekalan,” katanya.

Sokongan berterusan itu termasuk penubuhan negara Palestin merdeka serta berdaulat berasaskan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.