
SUBANG, 19 Mei – Malaysia menggesa Myanmar melanjutkan tempoh gencatan senjata sedia ada yang dijadual tamat pada 30 Julai ini.
- Malaysia meminta Myanmar memanjangkan gencatan senjata, dicadangkan sekurang-kurangnya enam bulan atau berterusan.
- Tujuan utama ialah menghentikan keganasan dan membuka ruang rundingan damai melibatkan semua pihak yang bertelagah.
- Malaysia sedia menjadi pemudah cara; perbincangan Myanmar dilaporkan lebih terbuka dan hasil lawatan akan dibawa ke Kabinet serta Menteri-Menteri Luar ASEAN.
Ia sebagai langkah penting ke arah menghentikan keganasan serta membuka ruang rundingan damai melibatkan semua pihak yang bertelagah di negara itu.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perkara itu disuarakan dalam pertemuannya bersama rakan sejawatnya dari Myanmar, Tin Mayng Swe ketika lawatan singkat beliau ke Naypyidaw, Myanmar hari ini.
“Saya minta supaya dipanjangkan dan diteruskan lagi sekurang-kurangan lagi enam bulan. Tetapi, kalau boleh berterusan dan mereka tidak menolaknya.
“Saya mengatakan bahawa isu utamanya adalah untuk mereka menghentikan permusuhan, ataupun keganasan dan kekejaman yang dilakukan terhadap warga mereka sendiri. Ini merupakan juga antara asas di dalam Konsensus Lima Perkara ASEAN yang telah dietapkan selama ini”, katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media khas sempena ketibaan beliau selepas lawatan ke Myanmar di Pangkalan Udara, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang.
Pertemuan itu diadakan susulan mandat ketua-ketua ASEAN untuk delegasi Menteri Luar ASEAN menilai situasi serta mengadakan pertemuan dengan rakan sejawat masing-masing di Myanmar.
Sementara itu, beliau berkata pihak berkuasa Myanmar kini dilihat lebih terbuka berbanding kepimpinan sebelum ini.
Perkembangan itu sekali gus memberi petanda positif terhadap usaha ASEAN mencari penyelesaian yang lebih konstruktif terhadap krisis berpanjangan di negara berkenaan.
“Kalau dahulu mereka terus menolak apabila dibangkitkan soal pihak di sebelah sana, tetapi kali ini mereka lebih bersedia untuk mendengar dan berbincang.
“Malaysia turut bersedia memainkan peranan sebagai pemudah cara bagi menemukan pihak bertelagah dengan kerajaan Myanmar secara berperingkat tanpa memberi tekanan kepada mana-mana pihak”, katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata hasil lawatan dan perbincangan bersama pihak berkuasa Myanmar akan dibentangkan kepada Kabinet sebelum dibawa ke peringkat Menteri-Menteri Luar ASEAN untuk tindakan susulan serta penilaian lanjut terhadap pendirian baharu ASEAN berhubung Myanmar.