
PUTRAJAYA, 19 Mei – Pusat Pengasingan Pelarian dan Pemohon Suaka (PPKPPS) akan menjadi perintis pembaharuan kepada pengurusan pelarian yang komprehensif di Malaysia, diteraju Kementerian Dalam Negeri (KDN).
- Laporan projek khas Bidor akan dibentangkan kepada Kabinet pada minggu kedua Jun sebagai nota Jemaah Menteri.
- Projek dijalankan selaras tanggungjawab Majlis Keselamatan Negara di bawah tajuk Pengurusan Pelarian Secara Komprehensif.
- Cadangan asal Ketua Pengarah Imigresen menarik perhatian Majlis Tindakan Ekonomi Negara dan diminta diperincikan.
- PPKPPS di Bidor berfungsi sebagai pusat saringan, dokumentasi, rujukan nasional untuk saringan keselamatan dan verifikasi biometrik.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, laporan tentang pelaksanaan projek khas yang bakal dibangunkan di Bidor, Perak itu akan dibentangkan kepada Kabinet, bulan hadapan.
“Kita ada tugasan tambahan, siapkan laporan kepada Jemaah Menteri. Dalam bulan Jun dalam minggu kedua begitu, kita laporkan sebagai nota Jemaah Menteri kepada rakan-rakan Jemaah Menteri di atas permintaan Perdana Menteri.
Kita (KDN) berpeluang untuk memberikan perincian terhadap satu projek khas yang sedang kita jalankan, sesuai tanggungjawab yang diberikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dibawah tajuk Pengurusan Pelarian Secara Komprehensif,” katanya.
Beliau berucap demikian pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Imigresen Malaysia bagi Tahun 2025 di sini hari ini.
Tambahnya, cadangan asal mengenai projek tersebut yang dibawa oleh Ketua Pengarah Imigresen, telah menarik perhatian Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), dan kini diminta untuk diperincikan sebagai nota rasmi kabinet.
Sebelum ini, KDN telah mengambil langkah proaktif dalam memperkukuh dasar pengurusan warga asing, termasuk pelarian dan pemohon suaka, melalui penubuhan PPKPPS di Bidor, Perak.
Fasiliti moden ini, bukan sahaja berfungsi sebagai pusat saringan dan dokumentasi, tetapi juga sebagai Pusat Rujukan Nasional bagi proses saringan keselamatan, verifikasi biometrik serta dokumentasi dan penilaian status.