
KUALA LUMPUR, 17 Mei – Inisiatif i-Legasi yang diperkenalkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mampu menjadi mekanisme pemindahan kekayaan antara generasi secara lebih sistematik, sekali gus memperkukuh simpanan persaraan ahli keluarga bagi jangka panjang.
- Pemindahan terus ke akaun KWSP penerima tanpa pengeluaran wang tunai, mengekalkan dana untuk persaraan.
- Dana dikreditkan ke Akaun Persaraan atau Akaun Emas penerima, memastikan perlindungan kewangan jangka panjang.
- Hanya simpanan melebihi tahap Simpanan Mencukupi RM650,000 boleh dipindahkan, melindungi keselamatan kewangan pemberi.
- Pemindahan dibenarkan kepada pasangan dan anak warga Malaysia atau penduduk tetap; proses termasuk rundingan dan khidmat nasihat KWSP.
Pensyarah Jabatan Ekonomi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Muhammad Irwan Ariffin berkata, inisiatif berkenaan dapat membantu ahli keluarga menambah simpanan persaraan melalui pemindahan terus ke akaun KWSP penerima tanpa pengeluaran wang tunai untuk kegunaan segera.
“Kekuatan utama inisiatif ini ialah dana berkenaan kekal berada dalam sistem persaraan, iaitu dikreditkan sama ada ke Akaun Persaraan atau Akaun Emas penerima.
“Ini bermakna bantuan kepada ahli keluarga bukan sahaja dapat menangani tekanan kewangan jangka pendek, malah membantu membina perlindungan kewangan jangka panjang untuk generasi seterusnya.
Terdahulu, KWSP memperkenalkan i-Legasi bagi membolehkan ahli memindahkan sebahagian simpanan kepada akaun KWSP pasangan atau anak-anak selepas mencapai umur pengeluaran penuh.
Kemudahan itu membolehkan pemindahan dibuat kepada pasangan dan anak-anak yang berumur di bawah umur persaraan minimum kebangsaan 60 tahun serta berstatus warganegara Malaysia atau penduduk tetap.
Dalam masa sama, beliau turut berpandangan syarat pemindahan yang hanya membenarkan simpanan melebihi tahap Simpanan Mencukupi sebanyak RM650,000 dipindahkan merupakan langkah perlindungan penting bagi memastikan ahli tidak menjejaskan keselamatan kewangan persaraan sendiri.
“Ini menunjukkan KWSP telah mengambil langkah perlindungan awal bagi memastikan pemberi tidak memindahkan simpanan secara mudah sehingga menjejaskan keperluan persaraan sendiri.
“Selain itu, pemberi juga perlu melalui proses rundingan dan khidmat nasihat bersama KWSP bagi memahami implikasi i-Legasi terhadap simpanan persaraan mereka,” katanya ketika dihubungi RTM hari ini.
Jumlah pemindahan itu dilindungi di bawah Rangka Kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan (RIA), dengan Simpanan Asas ditetapkan pada RM390,000, Simpanan Mencukupi RM650,000 dan Simpanan Dipertingkatkan RM1.3 juta.