Pembiayaan mikro perkukuh ekonomi rakyat, bantu usahawan kecil berkembang

Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali/Foto USIM

KUALA LUMPUR, 17 Mei – Langkah kerajaan menyediakan kemudahan pembiayaan kepada usahawan mikro disifatkan sebagai inisiatif signifikan dalam memperkukuh ekonomi rakyat, khususnya golongan peniaga kecil, penjaja dan pekerja gig.

RINGKASAN BERITA AI
  • Akses kepada modal adalah cabaran utama; pembiayaan mikro memudahkan pengambilan modal kerja, stok, peralatan dan perluasan pasaran digital.
  • Proses permohonan dipermudah dan kadar pembiayaan rendah mengurangkan beban kewangan serta memperbaiki aliran tunai usahawan.
  • Sokongan perlu disertai program latihan, literasi kewangan dan pendigitalan untuk memastikan pertumbuhan perniagaan yang mampan.
  • Perusahaan mikro, kecil dan sederhana ialah tulang belakang ekonomi; pembiayaan menyokong produktiviti, pendigitalan dan daya saing.

Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali berkata, akses kepada modal merupakan cabaran utama yang sering dihadapi usahawan kecil untuk memulakan dan mengembangkan perniagaan.

Menurut beliau, akses pembiayaan yang lebih mudah membolehkan usahawan memperoleh modal kerja bagi membeli stok, peralatan serta meningkatkan kapasiti pengeluaran selain memperluas pemasaran termasuk menerusi platform digital.

“Ini secara langsung membantu meningkatkan pendapatan isi rumah, mewujudkan peluang pekerjaan dan mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman tidak formal yang mengenakan kadar faedah tinggi.

“Secara keseluruhannya, inisiatif ini bukan sahaja membantu rakyat menjana pendapatan lebih stabil, malah memperkukuh daya tahan ekonomi di peringkat akar umbi,” katanya kepada RTM.

Tambah beliau, pendekatan kerajaan yang mempermudah proses permohonan serta menawarkan kadar pembiayaan yang rendah merupakan faktor penting bagi memastikan lebih ramai usahawan mikro mendapat akses kepada pembiayaan formal.

“Apabila proses permohonan dipermudahkan, kelulusan dipercepatkan dan syarat menjadi lebih fleksibel, lebih ramai usahawan berpeluang mendapatkan pembiayaan.

“Pada masa sama, kadar pembiayaan yang rendah membantu mengurangkan beban kewangan dan meningkatkan keupayaan usahawan mengekalkan aliran tunai yang sihat,” katanya.

Selain itu, beliau berpandangan bahawa sokongan berkenaan perlu disertakan dengan program latihan, literasi kewangan dan pendigitalan bagi memastikan perkembangan perniagaan yang lebih mampan.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) sebagai tulang belakang ekonomi negara kerana sektor tersebut menyumbang besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), peluang pekerjaan dan aktiviti keusahawanan.

“Penyediaan lebih RM15 bilion sokongan pembiayaan merupakan langkah strategik untuk memastikan sektor ini terus menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi negara.

“Sokongan ini juga membolehkan PMKS meningkatkan produktiviti, memperkukuh pendigitalan serta meningkatkan daya saing di peringkat domestik dan antarabangsa,” jelasnya.

Sebelum ini, Kerajaan MADANI mengumumkan penyediaan kemudahan bernilai lebih RM5 bilion bagi tahun ini yang dijangka memanfaatkan lebih 400,000 usahawan mikro melalui pelbagai skim yang disalurkan melalui agensi dan institusi kewangan pembangunan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.