Penganjuran Piala Dunia jadi rebutan demi lonjak imej, tarik pelabur asing

Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Perniagaan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Mohd Iqbal Mohd Noor /RTM

KUALA LUMPUR, 17 Mei – Piala Dunia bukan sahaja platform kejohanan sukan terbesar, malah bertindak sebagai pemacu ekonomi global yang mampu menjana keuntungan berbilion dolar, dengan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) kekal sebagai penerima manfaat terbesar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penganjuran menarik pelabur besar sebagai unjuran jangka panjang untuk membuktikan keupayaan penganjur kendalikan acara mega.
  • 'Gajah putih' risiko utama selepas kejohanan, infrastruktur dan stadium mungkin tidak digunakan secara optimum.
  • Peningkatan imej dan penjenamaan negara dilihat lebih bernilai untuk menarik Pelaburan Langsung Asing; industri perlu manfaatkan ekonomi digital.

Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Perniagaan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Mohd Iqbal Mohd Noor berkata, pulangan lumayan yang diraih badan induk bola sepak dunia itu disokong kuat oleh hasil jualan tiket, hak cipta rasmi, serta penajaan utama daripada syarikat korporat antarabangsa.

Menurut beliau, keupayaan FIFA dalam meyakinkan rakan strategik global membolehkan badan tersebut menarik kemasukan pelabur berskala besar bagi setiap edisi penganjuran.

“Apabila FIFA berjaya meyakinkan negara-negara lain, lebih banyak pelabur akan masuk. Matlamat utama penganjuran ini bukan bersifat jangka pendek, sebaliknya adalah unjuran jangka panjang bagi membuktikan keupayaan penganjur mengendalikan acara berskala mega,” katanya kepada RTM selepas menjadi tetamu dalam program Selamat Pagi Malaysia di Kota Media, Angkasapuri, di sini hari ini.

Bagaimanapun, Dr. Mohd Iqbal mengingatkan bahawa negara penganjur masih terdedah kepada risiko ekonomi selepas kejohanan melabuhkan tirai, terutamanya isu ‘gajah putih’ (white elephant) membabitkan infrastruktur dan stadium yang tidak digunakan secara optimum.

Namun begitu, beliau menjelaskan faktor tersebut tidak menghalang minat negara-negara dunia untuk terus membida hak penganjuran kerana pulangan dalam bentuk peningkatan imej dan penjenamaan negara dilihat lebih bernilai bagi menarik Pelaburan Langsung Asing (FDI).

Dalam masa sama, beliau berpandangan industri bola sepak global kini tidak lagi bergantung kepada siaran langsung semata-mata, sebaliknya perlu memanfaatkan ekonomi digital termasuk kandungan media sosial, sorotan perlawanan dan ulasan bagi menjana pendapatan tambahan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.