
KEMAMAN, 15 Mei – Lebih 2,000 penduduk Perumahan Peringkat Empat, Bandar Ceneh Baharu, Kemaman, Terengganu bimbang dengan kehadiran sekumpulan gajah liar yang berkeliaran di kawasan rumah mereka.
- Gajah liar masuk dari hutan, menghampiri kawasan kediaman dan merosakkan pelbagai tanaman penduduk.
- Penduduk terkejut apabila beberapa ekor, termasuk dua ekor dekat pintu dapur, menimbulkan ketakutan dan membuatkan mereka melarikan diri.
- Penduduk menggesa Perhilitan melakukan pemantauan serta tindakan segera; JPKKP telah mengemukakan masalah kepada pihak berkuasa.
Kumpulan haiwan berkenaan dilihat keluar dari kawasan hutan berhampiran dan masuk terlalu hampir dengan kawasan rumah penduduk.
Tinjauan RTM pagi tadi mendapati, kumpulan gajah liar berkenaan yang dipercayai tersesat dari hutan simpan berhampiran masuk menghampiri rumah penduduk dan merosakkan pelbagai tanaman mereka.
Seorang penduduk Mohd Noor Omar berkata dalam kejadian malam tadi, beberapa ekor gajah telah merosakkan pelbagai jenis tanaman seperti pokok pisang dan kelapa di bahagian dapur rumah mereka.
“Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi tadi, saya terdengar bunyi bising di belakang dapur rumah dan selepas membuka pintu, saya terkejut melihat kelibat dua ekor gajah betul-betul berada di
depan saya. Saya kemudiannya bertindak menutup semula pintu dan mengarahkan isteri bersiap untuk keluar melarikan diri melalui pintu utama depan,” katanya.
Sementara isterinya, Hasnah Jusoh, berkata dia hampir pengsan selepas melihat kelibat dua ekor gajah berkenaan yang agak besar betul-betul berada di hadapan pintu dapur rumah mereka.
Jelasnya, ketika itu dia dan suaminya berasa amat bimbang dan hanya sempat mengucap dan berdoa agar haiwan liar berkenaan tidak bertindak ganas sehingga mengancam keselamatan mereka.
“Saya berharaplah Jabatan Perhilitan dapat mengawasi kawasan sekitar rumah. Saya takut dan bimbang sekiranya haiwan berkenaan bertindak ganas,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Abdul Latif Rashid, berkata mereka amat bimbang dengan kehadiran kumpulan haiwan liar tersebut yang kini telah memasuki kawasan kediaman dan memusnahkan tanaman.
Beliau berharap, pihak berkuasa dapat bertindak segera dengan melakukan pemantauan berterusan demi keselamatan ribuan penduduk di kawasan kediaman itu.
“Harapnya pihak berkuasa dapat menghalanglah daripada gajah tersebut datang semula kerana ia boleh mendatangkan bahaya kepada penduduk.” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Peringkat 4, Wan Nordin Wan Omar berkata, pihaknya telah mengemukakan masalah tersebut kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.