
KUALA LUMPUR, 15 Mei -Satu kumpulan yang aktif melakukan jenayah kekerasan di Sarawak tumpas dengan penahanan 23 suspek lelaki warga tempatan berusia antara 19 hingga 44 tahun.
- Op Pusak Merah dilaksanakan JSJ Bukit Aman bersama JSJ Kontinjen Sarawak.
- Kumpulan aktif sejak 2020, diketuai lelaki 41 tahun; 26 ahli, kebanyakannya penjenayah berulang.
- Polis merampas pump gun, peluru 12 bore, dua pedang samurai dan dua bilah parang panjang.
- Semua suspek direman mengikut SOSMA; 26 ahli akan didakwa bawah Seksyen 130V(1) hukuman penjara lima hingga 20 tahun jika sabit.
Penahanan itu dilakukan menerusi Op Pusak Merah yang dilaksanakan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dengan kerjasama JSJ Kontinjen Sarawak.
Pengarah JSJ Bukit Aman Datuk M Kumar berkata, kumpulan yang aktif sejak tahun 2020 itu diketuai seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun dan mempunyai seramai 26 ahli yang kebanyakannya terdiri daripada penjenayah berulang.
Kesemua suspek kini direman mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) hingga 18 Mei ini.
“Dalam operasi berkenaan, polis turut merampas sepucuk senjata api jenis pump gun, peluru 12 bore pelbagai jenama, dua bilah pedang samurai serta dua bilah parang panjang.
“Siasatan mendapati kumpulan itu, terbabit dalam pelbagai kegiatan jenayah termasuk pemerasan bagi mendapatkan wang perlindungan, serangan ke atas premis yang enggan membayar, ugutan jenayah serta mencederakan mangsa untuk memperluaskan pengaruh kumpulan,” katanya menerusi satu kenyataan.
Polis Di Raja Malaysia (PDRM) turut mengenal pasti tiga lagi ahli kumpulan yang masih bebas dan usaha mengesan mereka sedang giat dijalankan.
Kesemua individu yang ditangkap mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes bunuh, rompakan berkumpulan, khianat dengan api, pecah rumah, curi kenderaan, ugutan jenayah, pengedaran dadah dan beberapa kesalahan jenayah serius lain.
Dengan kejayaan operasi tersebut, polis berjaya menyelesaikan kira-kira 25 kes jenayah serta melumpuhkan satu sindiket jenayah kekerasan yang aktif di Sarawak.
Tambah Datuk M. Kumar, kesemua 26 ahli kumpulan termasuk tiga yang masih bebas akan dituduh bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan kerana menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun.
Pertuduhan dijadual dilaksanakan di Mahkamah Sesyen Kuching, Sarawak petang ini.