Suasana cemas di bangunan Senat Filipina susulan insiden tembakan

Beberapa das tembakan kedengaran di dalam bangunan Senat Filipina cetus suasana panik – Foto AFP

MANILA, 13 Mei – Suasana di bangunan Senat Filipina bertukar cemas hari ini selepas beberapa das tembakan kedengaran di dalam premis tersebut, ketika Senator Ronald Dela Rosa yang dikehendaki Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dilaporkan berada di situ.

RINGKASAN BERITA AI
  • Anggota tentera lengkap bersenjata dilihat menaiki tangga bangunan Senat.
  • Dela Rosa dilaporkan berlindung di bangunan Senat sejak Isnin.
  • Dela Rosa menggesa tentera menghalang penangkapan dan penghantaran ke Belanda untuk perbicaraan ICC.
  • Presiden Senat Alan Peter Cayetano berkata mereka sedang diserang tanpa penjelasan lanjut.

Menurut wartawan AFP yang berada di tempat kejadian, sekurang-kurangnya lima das tembakan didengari, menyebabkan wartawan dan petugas media bertempiaran mencari perlindungan.

Kejadian berlaku beberapa minit selepas anggota tentera lengkap bersenjata dan memakai peralatan perlindungan dilihat menaiki tangga bangunan legislatif tersebut.

Senator Ronald Dela Rosa yang dikehendaki Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) susulan jenayah kemanusiaan – Foto AFP

Dela Rosa yang juga bekas ketua polis dan individu penting dalam kempen perang dadah era bekas Presiden Rodrigo Duterte, dilaporkan berlindung di bangunan Senat sejak Isnin.

Beliau sebelum ini menggesa pihak tentera menghalang sebarang cubaan menangkap dan menghantarnya ke Belanda untuk dibicarakan atas dakwaan jenayah terhadap kemanusiaan di ICC.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Senat, Alan Peter Cayetano dalam siaran langsung di Facebook memaklumkan pihaknya “sedang diserang”, namun tidak memberikan penjelasan lanjut mengenai situasi sebenar.

Penunjuk perasaan berarak ke bangunan Senat Filipina dengan membawa sepanduk mendesak agar Senator Ronald Dela Rosa ditangkap – Foto AFP

Seorang lagi senator, Robin Padilla turut dilihat meminta wartawan meninggalkan kawasan berkenaan.

Lokasi sebenar Dela Rosa bagaimanapun masih belum diketahui.

Terdahulu, Dela Rosa atau lebih dikenali sebagai “Bato” menyeru anggota tentera dan bekas rakan sekelasnya di Akademi Tentera Filipina supaya menyatakan bantahan terhadap usaha kerajaan menyerahkannya kepada pihak asing.

Dela Rosa merupakan ketua polis Filipina dari tahun 2016 hingga 2018 ketika dua tahun pertama pentadbiran Duterte.

Penunjuk perasaan mendesak agar Senator Ronald Dela Rosa ditangkap – Foto AFP

Operasi perang dadah yang dilancarkan ketika itu mengorbankan ribuan nyawa menurut kumpulan hak asasi manusia, kebanyakannya melibatkan pengguna dadah dan pengedar kecil.

Duterte pula ditahan pada Mac tahun lalu sebelum diterbangkan ke Belanda dan kini ditahan di Hague sementara menunggu perbicaraan.

Dela Rosa tidak pernah muncul di khalayak sejak November lalu sebelum tampil semula pada Isnin untuk menyertai undian mengejut yang membantu sekutu Duterte menguasai Senat Filipina. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.