Inisiatif Makkah Route permudah urusan jemaah haji Malaysia

Pengurusan perjalanan jemaah kini menjadi lebih pantas dan lancar

MEKAH, 13 Mei – Pelaksanaan inisiatif “Makkah Route” disifatkan sebagai antara perubahan paling signifikan dalam operasi pengurusan haji Malaysia, sekali gus mengubah landskap perjalanan jemaah haji negara ke Tanah Suci.

RINGKASAN BERITA AI
  • Makkah Route mempercepatkan urusan ketibaan jemaah, mengurangkan masa tunggu dan keletihan selepas perjalanan jauh.
  • Transformasi operasi termasuk penggunaan sistem digital memperkukuh pengurusan jemaah dan kelancaran operasi haji.
  • Kerajaan Arab Saudi mengawal ketat akses ke kawasan Masyair, menghalang tanpa visa haji untuk kurangkan kesesakan.

Pengurus Operasi Maktab 63 Tabung Haji (TH), Shahidan Taib berkata kemudahan itu bukan sahaja mempercepatkan urusan ketibaan jemaah di Arab Saudi, malah membantu mengurangkan keletihan fizikal dan emosi selepas menempuh perjalanan jauh.

Beliau yang telah berkhidmat bersama TH hampir tiga dekad berkata, sebelum pelaksanaan inisiatif tersebut, jemaah haji Malaysia perlu menunggu antara lima hingga enam jam di lapangan terbang Jeddah atau Madinah bagi menyelesaikan proses imigresen.

“Sebelum ini, jemaah yang tiba di lapangan terbang Jeddah atau Madinah terpaksa menunggu sehingga enam jam untuk menyelesaikan urusan imigresen. Namun dengan adanya Makkah Route, pengurusan perjalanan jemaah kini menjadi lebih pantas dan lancar,” katanya.

Menurut beliau, perubahan itu memberi kesan besar terhadap kelancaran operasi haji selain meningkatkan tahap keselesaan jemaah, khususnya golongan warga emas.

Shahidan yang berpengalaman enam kali bertugas di Tanah Suci berkata transformasi operasi haji ketika ini turut diperkukuh menerusi penggunaan sistem digital dalam pengurusan jemaah.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan Arab Saudi turut memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran operasi haji melalui kawalan lebih ketat terhadap kemasukan jemaah ke kawasan Masyair.

Katanya, langkah menghalang individu tanpa visa haji daripada memasuki kawasan ibadah membantu mengurangkan kesesakan dan melancarkan pergerakan bas sepanjang musim haji.