Maldives, Pakistan, Bangladesh kecam serangan dron Huthi berhampiran Mekah

Gambar hiasan /RTM

HYDERABAD, 16 September – Beberapa negara Asia Selatan termasuk Maldives, Pakistan dan Bangladesh pada Rabu mengecam cubaan serangan dron Huthi berhampiran Mekah sebagai tidak boleh diterima serta menyatakan solidariti dengan Arab Saudi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Presiden Maldives mengutuk cubaan serangan dron, menyeru penghentian segera dan komitmen terhadap keamanan serta dialog.
  • Perdana Menteri Pakistan menyatakan dukacita mendalam, memuji Angkatan Tentera Diraja Arab Saudi yang menggagalkan cubaan serangan.
  • Sistem pertahanan udara Arab Saudi memintas dan memusnahkan dron di selatan Mekah; OIC menyifatkan tindakan itu sebagai sungguh kejam.

Presiden Maldives, Dr Mohamed Muizzu menggesa serangan seumpama itu dihentikan serta-merta dan meminta semua pihak berkaitan mengelakkan ketegangan daripada terus memuncak serta komited terhadap usaha mencapai keamanan dan dialog.

“Saya mengecam sekeras-kerasnya cubaan serangan dron Huthi yang menyasarkan Kota Suci Mekah. Sebarang tindakan yang mengancam keselamatan dan kesucian kota paling suci dalam Islam sama sekali tidak boleh diterima dan amat menyinggung perasaan seluruh umat Islam,” katanya dalam kenyataan.

Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif turut menyertai pemimpin dan negara lain dalam mengecam serangan pada Selasa itu.

“Tiada kata-kata yang cukup untuk menggambarkan betapa mendalamnya rasa dukacita dan kesedihan yang kami rasai terhadap tindakan keji dan tidak boleh dimaafkan ini,” kata Shehbaz dalam kenyataan sambil memuji Angkatan Tentera Diraja Arab Saudi kerana berjaya menggagalkan cubaan serangan ke atas Mekah.

“Pakistan tetap teguh berdiri bersama-sama negara saudara, Kerajaan Arab Saudi, dalam mempertahankan kedaulatan dan keutuhan wilayahnya serta keselamatan dan kesucian Haramain Sharifain (Kota Suci Mekah dan Madinah) — satu tanggungjawab yang amat dekat di hati setiap rakyat Pakistan,” katanya.

Sementara itu, Kementerian Luar Bangladesh dalam kenyataan mengecam serangan itu dan menyatakan solidariti dengan Arab Saudi dalam melindungi kota suci berkenaan.

“Bangladesh menegaskan bahawa keselamatan dan perlindungan tempat suci mesti dihormati serta dipelihara sepenuhnya pada setiap masa,” menurut kenyataan itu.

Sistem pertahanan udara Arab Saudi memintas dan memusnahkan dron Huthi itu di selatan Mekah pada petang Selasa.

Serangan itu menyusuli beberapa serangan Huthi baru-baru ini terhadap kemudahan tenaga dan infrastruktur di Arab Saudi.

Serangan berkenaan menerima kecaman antarabangsa, dengan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menyifatkannya sebagai “sungguh kejam”. -BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.