
KUALA LUMPUR, 13 Mei – Pengenalan klausa Pilihan untuk Membeli (OTP) di bawah cadangan Rang Undang-Undang Pemajuan Harta Tanah memberi perlindungan lebih baik kepada pembeli rumah sebelum memuktamadkan sebarang pemilikan hartanah.
- Klausa OTP membolehkan pembeli dan pemaju menarik diri sebelum Perjanjian Jual Beli ditandatangani.
- Mekanisme berpotensi menyelesaikan isu seperti projek perumahan terbengkalai dan kebimbangan bakal pembeli.
- Pemaju boleh gunakan OTP untuk menilai minat pasaran sebelum komitmen mengikat dan kerja pembinaan bermula.
- REHDA mahu klausa jelas, praktikal dan adil; gesa libat urus KPKT, serta komited sediakan rumah berkualiti, mampu milik dan mampan.
Menurut Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) mekanisme itu juga berpotensi menjadi penyelesaian praktikal kepada pelbagai isu yang dihadapi oleh bakal pembeli dan pemaju termasuk kebimbangan berkaitan projek perumahan terbengkalai.
Presidennya, Datuk Ir Ho Hon Sang berkata kedua-dua pihak diberi pilihan untuk menarik diri daripada transaksi sebelum Perjanjian Jual Beli (SPA) ditandatangani.
”Mekanisme itu memberi peluang kepada pembeli untuk mempertimbangkan semula keputusan pembelian sekiranya berlaku perubahan situasi.
“Pada masa sama, pemaju juga diberikan fleksibiliti untuk menarik diri daripada projek yang tidak lagi berdaya maju dari segi komersial atau kewangan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, pemaju juga boleh menggunakan mekanisme OTP bagi menilai minat sebenar pasaran daripada bakal pembeli sebelum komitmen mengikat dimeterai dan sebelum kerja pembinaan dimulakan.
Beliau berharap kerajaan khususnya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan terus mengadakan libat urus bersama pemain industri termasuk REHDA bagi memuktamadkan butiran serta rangka kerja mekanisme tersebut.
“Klausa ini perlu jelas, praktikal dan adil dalam melindungi kepentingan kedua-dua pihak iaitu pembeli dan pemaju,” katanya.
REHDA turut menegaskan komitmennya untuk terus menggalakkan ahlinya memainkan peranan dalam pembangunan negara dengan menyediakan rumah berkualiti, mampu milik serta mampan kepada rakyat secara tepat pada masanya.