Nilai kerja sektor pembinaan meningkat 8.5% kepada RM46.5 bilion pada suku pertama 2026

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 13 Mei – Sektor pembinaan terus mencatat pertumbuhan yang kukuh sebanyak 8.5 peratus kepada RM46.5 bilion, pada suku pertama 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Subsektor aktiviti pertukangan khas dan bangunan bukan kediaman mencatat pertumbuhan dua angka, masing-masing 24.6% dan 12.7%.
  • Subsektor bangunan kediaman meningkat 6.1% manakala kejuruteraan awam merekodkan pertumbuhan positif 1.5%.
  • Sektor swasta kekal pemacu utama dengan nilai kerja RM30.5 bilion, 65.6% dan pertumbuhan 13.2%.
  • Lebih 50% nilai kerja tertumpu di Selangor, Johor dan Wilayah Persekutuan; Selangor mencatat nilai tertinggi RM10.9 bilion.

Menurut Jabatan Perangkaan (DOSM), prestasi ini didorong terutamanya oleh pengembangan berterusan dalam subsektor aktiviti pertukangan khas serta bangunan bukan kediaman, dengan masing-masing mencatatkan pertumbuhan dua angka sebanyak 24.6 peratus dan 12.7 peratus.

Ketua Perangkawan, Datuk Sri Dr. Mohd berkata, subsektor bangunan kediaman turut merekodkan peningkatan sebanyak 6.1 peratus, manakala subsektor kejuruteraan awam kekal positif dengan pertumbuhan marginal sebanyak 1.5 peratus.

”Daripada nilai kerja keseluruhan, sejumlah RM15.9 bilion atau 34.2 peratus disumbangkan oleh subsektor kejuruteraan awam yang didorong terutamanya oleh aktiviti pembinaan projek utiliti serta jalan raya dan landasan kereta api,” jelasnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Berdasarkan pemilikan projek, sektor swasta kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan dengan peningkatan sebanyak 13.2 peratus didorong oleh subsektor aktiviti pertukangan khas (28.8 peratus) dan bangunan bukan kediaman (13.1 peratus).

Nilai kerja oleh sektor swasta berjumlah RM30.5 bilion atau 65.6 peratus daripada jumlah keseluruhan nilai kerja pembinaan.

Sektor pembinaan mengikut negeri menunjukkan lebih 50 peratus daripada nilai kerja pada suku pertama tahun ini tertumpu di Selangor, Johor dan Wilayah Persekutuan.

Selangor mencatatkan nilai tertinggi berjumlah RM10.9 bilion, dengan subsektor bangunan bukan kediaman (RM4.1 bilion) dan kejuruteraan awam (RM2.6 bilion) penyumbang terbesar.