Pasaran getah ditutup bercampur-campur, seiring niaga hadapan getah serantau

Foto hiasan janaan AI

KUALA LUMPUR, 12 Mei – Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup bercampur-campur pada Selasa, seiring prestasi niaga hadapan getah serantau dan peningkatan harga minyak mentah, kata seorang peniaga.

RINGKASAN BERITA AI
  • Niaga hadapan Jepun diniagakan dalam julat terhad akibat ketidaktentuan bekalan dari Thailand kerana hujan lebat mengganggu aktiviti penorehan.
  • Agensi meteorologi Thailand memberi amaran hujan lebat dan banjir kilat yang menjejaskan lokasi utama ladang getah minggu depan.
  • Kenaikan minyak susulan rundingan geopolitik yang lemah meningkatkan kebimbangan bekalan, sementara optimisme rundingan perdagangan AS-China mengehadkan kejatuhan.

Beliau berkata niaga hadapan getah Jepun diniagakan dalam julat terhad hari ini berikutan ketidaktentuan bekalan daripada pengeluar utama, Thailand, apabila pokok getah di negara itu menghampiri musim kemuncak di tengah-tengah hujan lebat yang menggangu aktiviti penorehan.

“Agensi meteorologi Thailand memberi amaran mengenai hujan lebat dan banjir kilat di selatan negara itu yang melibatkan lokasi utama ladang getah sepanjang minggu depan,” katanya kepada Bernama.

Harga minyak meningkat apabila rundingan bagi menyelesaikan konflik Amerika Syarikat-Israel berkaitan Iran dilihat lemah.

Sementara itu, reaksi Tehran terhadap cadangan Washington turut menunjukkan perbezaan ketara yang terus mencetuskan kebimbangan terhadap bekalan.

Ketika ini harga minyak mentah Brent meningkat 2.48 peratus kepada US$106.80 setong.

Beliau berkata kebimbangan ekonomi susulan konflik Asia Barat terus mempengaruhi sentimen pasaran.

“Bagaimanapun, penurunan selanjutnya dihadkan oleh optimisme terhadap rundingan perdagangan AS-China,” katanya.

Pada 3 petang, harga Getah Mutu Malaysia (SMR) 20 susut 2.5 sen kepada 879.5 sen sekilogram, manakala lateks pukal naik lima sen kepada 755.5 sen sekilogram.- BERNAMA