Agenda pembaharuan, transformasi SPRM perlu dilaksana secara berterusan

Tan Sri Azam Baki

KUALA LUMPUR , 11 Mei – Agenda pembaharuan dan transformasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dimulakan kepimpinan terdahulu perlu diteruskan bagi memastikan ia kekal relevan serta diyakini rakyat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Transformasi SPRM bermula sejak era Tan Sri Abu Kassim dan diteruskan oleh ketua pesuruhjaya berikutnya.
  • Insiden kematian Teoh Beng Hock pada 2009 menjadi pemangkin pembaharuan menyeluruh bagi memulihkan imej SPRM.
  • Pengenalan Akta Pencegahan Rasuah 1997 dilihat sebagai titik penting memperkukuh undang-undang antirasuah negara.
  • Perundangan diperkukuh melalui Akta SPRM 2009 yang membawa transformasi besar kepada agensi.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata langkah itu perlu dilaksanakan secara berterusan kerana strategi memerangi rasuah sentiasa ditambah baik mengikut peredaran zaman.

”Jadi, proses transformasi ini sebenarnya sudah pun bermula sejak zaman Tan Sri Abu Kassim dan diteruskan oleh ketua pesuruhjaya yang lain kerana mereka mempunyai niat yang sama, iaitu untuk berkhidmat kepada masyarakat serta memberikan yang terbaik.

“Sepanjang pemerhatian saya, tiada seorang pun ketua pesuruhjaya yang berniat untuk menghancurkan agensi ini. Sebaliknya, semua usaha dilakukan demi kepentingan rakyat, termasuk menambah baik perkara-perkara yang perlu diperbaharui,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam audio siar “Kolar Hitam Bukan Sekadar Operasi” yang disiarkan di YouTube rasmi SPRM hari ini.

Antara perubahan besar yang telah dilaksanakan dalam SPRM termasuk pengenalan Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang disifatkannya sebagai titik penting dalam memperkukuh undang-undang antirasuah negara.

Menurut Tan Sri Azam Baki, Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang ketika itu memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan memainkan peranan penting dalam memperkenalkan undang-undang berkenaan.

Perundangan itu kemudiannya diperkukuh menerusi penggubalan Akta SPRM 2009 yang membawa transformasi besar kepada agensi tersebut.

Selain itu, beliau menyifatkan insiden kematian Teoh Beng Hock pada 2009 turut menjadi titik perubahan kepada SPRM untuk melaksanakan pembaharuan menyeluruh dalam usaha memulihkan imej serta mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap agensi berkenaan.