Kerajaan laksana langkah bantu syarikat media hadapi perubahan teknologi

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil

MELAKA, 9 Mei -Beberapa langkah sedang dilaksanakan kerajaan, bagi membantu syarikat media terus kekal beroperasi dalam era perubahan teknologi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerjasama dengan Google melalui Projek Sigma untuk eksperimen penyampaian baharu kepada pembaca dan penonton generasi baharu.
  • Mengatasi tekanan ekonomi dengan fokus pada penjanaan pendapatan dan perbincangan idea bersama wartawan serta syarikat media.
  • Kerajaan sedia mendengar dan membantu proses peralihan, sambil industri membangunkan model perniagaan lebih mampan.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata, antaranya adalah kerjasama dengan pihak Google menerusi Projek Sigma untuk bereksperimen dengan cara penyampaian baharu bagi pembaca dan penonton generasi baharu.

Katanya, tekanan ekonomi yang dihadapi organisasi media memerlukan perubahan segera bagi memastikan kelangsungan industri serta kebajikan pengamal media terus terpelihara.

“Cabaran paling besar ketika ini ialah aspek penjanaan pendapatan (monetisasi). Justeru, saya percaya perkara itu antara yang akan dibincangkan.Saya juga yakin terdapat pelbagai idea daripada kalangan wartawan dan syarikat media.

“Kerajaan bukan sahaja bersedia mendengar, malah turut membantu dalam proses peralihan yang amat penting ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA kepada bekas Ketua Pengarang Melaka Hari Ini Ishak Mohamed Salleh, 65, yang berdepan dengan cabaran kesihatan, di kediamannya di Taman Bukit Cheng, di sini.

Beliau berkata, industri media juga perlu membangunkan model perniagaan yang lebih mampan bagi memastikan syarikat terus berdaya saing dan mampu menjana pendapatan secara berterusan.